“Dalam kes Anwar kita boleh berhujah yang dia tidak dilayan secara adil. Jelas sekali keputusan mahkamah dipengaruhi kerajaan dan saya rasa kerajaan akan datang akan mampu memujuk Agong untuk memberikan pengampunan Di Raja kepada Anwar,” kata Mahathir.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga berkata yang dia akan menyokong Anwar menjadi perdana menteri apabila dia dibebaskan kelak.
“Dalam keadaan dia mampu terlibat kembali dalam politik dan menjadi PM. Saya tidak ada bantahan.
Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri sejak 1981-2003 sedang berusaha untuk menyingkirkan penyandang jawatan tertinggi negara yang diselubungi skandal sekarang, dengan menyokong lelaki yang pernah dipecatnya daripada jawatan timbalan perdana menteri dan dipenjarakan atas tuduhan liwat.
Negarawan berusia 91 tahun itu yang ketika waktu pemerintahannya dituduh memerintah secara autokrat berkata Anwar ialah mangsa dendam politik dan pentadbiran baru akan memohon pengampunan di raja bagi membolehkan Anwar kembali memasuki politik.
Peguam Anwar kini sedang berusaha untuk membebaskannya daripada penjara selepas bukti terbaru muncul mengaitkan pendakwaraya kerajaan dibayar RM9.5 juta daripada akaun bank peribadi milik Perdana Menteri Najib Razak.
Peguam terkenal yang terkait dengan dakwaan itu, Shafee Abdullah memberitahu wartawan yang dia akan memberikan maklum balas tentang perkara itu pada 9 Jun lalu tetapi sehingga kini masih belum berbuat demikian.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga mengarahkan kerajaan dan Shafee untuk memberikan balasan jawapan kepada permohonan Anwar untuk mengetepikan sabitan jenayahnya susulan pendedahan Sarawak Report pada 31 Mei yang mencadangkan pendakwaraya lantikan kerajaan yang berat sebelah dibayar sejumlah wang daripada akaun bank yang dikawal perdana menteri.
Kumpulan hak asasi manusia sudah lama mendakwa dakwaan jenayah terhadap Anwar mempunyai motif politik yang digerakkan musuh politiknya, termasuklah Dr Mahathir dan Najib Razak bagi mendiamkan Anwar.
Menurut The Guardian, Dr Mahathir nampaknya kini menerima yang dia melakukan kesilapan apabila tidak membenarkan Anwar “menggantikannya”, juga kenyataan yang dia memegang kuasa terlalu lama dan memilih dua pemimpin yang akhirnya mengecewakannya terutama sekali Najib yang kini diselubungi skandal kleptokrasi terbesar dunia.
Menurut saman yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dicuri daripada dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dana itu ditubuhkan Najib ketika menjadi perdana menteri pada 2009, bermatlamat untuk menggalakkan pembangunan ekonomi Malaysia.
Sebaliknya, DoJ mendakwa yang wang 1MDB dicuri rakan Najib yang dibelanjakan secara mewah di seluruh dunia.
DoJ juga mendakwa Najib menerima AS$681 juta wang tunai daripada 1MDB. Najib sudah menafikan semua dakwaan itu, dia juga menafikan dakwaan wujudnya salah laku.
Read More / Baca Lagi >>