Umno akan kehilangan kerusi pada PRU14, tetapi persoalannya berapa banyak, kata badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan, yang juga meramalkan pengundi India menjadi penentu kemenangan.
Satu badan pemikir berkata keputusan pilihan raya umm ke-14 (PRU14) akan ditentukan oleh berapa banyak Parlimen yang Umno tewas akibat daripada perpecahan dalaman yang menyebabkan pembentukan PPBM.
Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) berkata di mana Umno berdepan perpecahan yang “besar” – menyebabkan ahli meninggalkan parti – undi Melayu kepada Umno akan menyusut dan kerusi Parlimen Umno akan berkurangan.
Pengarah Eksekutif KPRU Ooi Heng berkata keadaan itu boleh dilihat berlaku pada pilihan raya umum 1990, apabila Tengku Razaleigh Hamzah bertelagah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan meninggalkan Umno untuk menubuhkan Semangat 46. Akibatnya, jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi Umno berkurangan 12 kerusi, daripada 83 kerusi pada 1986 kepada 71 kerusi pada 1990.
Keadaan itu sekali lagi dilihat berlaku pada pilihan raya umum 1999 selepas peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penubuhan Parti Keadilan Nasional, yang menyaksikan kerusi Parlimen Umno berkurangan 17 kerusi, daripada 89 kerusi pada 1995 kepada 72 kerusi pada 1999.
Oleh itu, Ooi berkata terdapat 2 senario yang mungkin berlaku pada PRU14.
Dalam senario pertama, Umno akan kehilangan 15 hingga 20 kerusi daripada 88 kerusi yang dimenangi pada PRU13, meninggalkannya dengan jumlah antara 68 hingga 73 kerusi.
Beliau berkata senario itu menganggap setiap “perpecahan besar” dalam Umno akan mengakibatkan perpecahan yang lebih parah berbanding sebelum ini.
“Ini mungkin bererti prestasi Umno pada 1999 berbanding 1995 lebih buruk daripada prestasi 1990 berbanding 1986.
“Oleh itu, keputusan pada PRU14 berbanding PRU13 mungkin akan lebih buruk jika dibandingkan dengan keputusan PRU10 (1999) berbanding PRU9 (1995).”
Dalam senario kedua, bukan sahaja prestasi Umno lebih buruk berbanding sebelum ini, ia juga akan menunjukkan “penyusutan kerusi paling buruk dalam sejarah”, iaitu kehilangan 25 hingga 30 kerusi. Katanya, jika keadaan itu berlaku pada PRU14, Umno akan hanya mempunyai 58 hingga 63 kerusi sahaja.
Ooi berkata senario kedua mengambil kira hakikat dalam kalangan bekas pemimpin parti yang menerajui pembangkang untuk mencabar Umno, pemimpin tertinggi mereka ialah seorang bekas timbalan perdana menteri.
“Kali ini, Dr Mahathir ialah bekas perdana menteri yang pernah memerintah negara selama 22 tahun,” katanya.
Beliau menambah pilihan raya pada 2008 dan 2013 juga berjaya mengubah lanskap politik, menggugat sistem dominan 1 parti yang sebelum ini dianggap utuh.
Read More / Baca Lagi >>