Rakyat tidak mampu beli rumah kerana harga 'tidak masuk akal', bukan disebabkan syarat ketat pinjaman bank, kata sebuah pertubuhan mewakili pembeli rumah.
PETALING JAYA: Harga “tidak masuk akal” menjadi penyebab sebenar ramai rakyat Malaysia tidak mampu memiliki harta, dan mereka termasuk isi rumah berpendapatan RM9,000, kata sebuah badan kebangsaan mewakili pembeli rumah.
Persatuan Pembeli-pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) turut menolak pendapat bahawa syarat ketat pinjaman bank patut dipersalahkan kerana hartanah tidak terjual.
Sebelum ini, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berkata isu pembiayaan akhir dan penolakan pinjaman adalah sebab utama hartanah tidak terjual dengan kadar penolakan setinggi 60%.
Bagaimanapun, HBA mempersoalkan pandangan itu.
“Jika anda melihat laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2016, anda dapat melihat sejak 2012, kenaikan harga rumah melebihi tahap pendapatan,” kata Setiausaha Agung HBA, Chang Kim Loong.
Beliau berkata ini menunjukkan rakyat Malaysia tidak mampu memiliki rumah berdasarkan pendapatan mereka.
Chang menjelaskan konsep penarafan kemampuan iaitu penanda aras yang disyorkan untuk menentukan kemampuan membeli rumah. Penarafan ini, katanya, berdasarkan pembahagian harga rumah dengan pendapatan isi rumah tahunan peminjam.
“Pada asasnya, menurut penanda aras ini, sebuah rumah mampu milik tidak boleh bernilai lebih 3 kali pendapatan isi rumah tahunan peminjam.
“Jadi jika pendapatan isi rumah tahunan peminjam RM10,000 sebulan atau RM120,000 setahun, maka peminjam hanya layak meninjau hartanah yang berharga RM360,000 ke bawah.”
Chang berkata penanda aras ini disahkan oleh badan antarabangsa terkemuka termasuk Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta Bank Negara dan badan pemikir tempatan seperti Institut Penyelidikan Khazanah.
Kiraan matematik mudah
“Sebagai contoh, mengapa anda tidak mampu dimiliki rumah sekarang, anda hanya perlu melihat angka-angka ini.
“Berdasarkan kiraan dari Jabatan Perangkaan, anda dapat melihat pendapatan bulanan isi rumah pertengahan pada 2014 di Kuala Lumpur ialah RM7,705.
“Katakanlah, secara purata, seseorang itu mengalami kenaikan tahunan 6% dalam pendapatan isi rumah bulanan dari 2015 hingga 2017. Ini bermakna purata pendapatan isi rumah bulanan mereka pada 2017 adalah RM9,177.”
Chang berkata jika seseorang itu mendarab RM9,177 dengan 12 bulan dan kemudian mendarab dengan 3, hartanah yang dianggap mampu dimiliki akan bernilai RM330,372. Mana-mana yang lebih daripada itu secara realistiknya tidak mampu dimiliki.
“Ada yang kata harga rumah lebih mahal di KL, tetapi sebenarnya gaji di luar KL juga lebih rendah. Menggunakan formula dan statistik yang sama, kita boleh kira apa yang mampu dimiliki di Negeri Sembilan.
“Di Negeri Sembilan, pendapatan bulanan isi rumah pertengahan pada 2014 ialah RM4,115.”
Pemfaktoran dalam peningkatan pendapatan bulanan isi rumah pada 2017 akan menjadikannya RM4,900, bermakna rumah mampu milik akan berada dalam lingkungan RM176,400..
Chang berkata sebuah rumah yang berharga RM294,000 pun tidak mampu dibiayai isi rumah dengan pendapatan RM4,900 sebulan.
Adakah bank jahat?
Read More / Baca Lagi >>