Dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor bahawa pindaan Akta 164 menyebabkan satu demi satu hak umat Islam terlucut dilihat sebagai paranoid iaitu keyakinan melampau bahawa orang lain sentiasa mengancamnya.
Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menganggap sedemikian kerana pindaan akta tersebut tidak melucutkan hak orang Islam seperti dianggap sebaliknya memartabatkan Mahkamah Syariah.
Beliau turut melihat tanggapan pemimpin Pas berkenaan kononnya pindaan Akta 164 memberikan pelbagai kelebihan buat sesiapa untuk murtad, menukar agama, dan mengikis hak terutama penjagaan hak terhadap anak-anak sebagai antara hujah merapu.
"Kelebihan untuk orang murtad? Murtad berlaku walaupun tanpa pindaan akta ini, bahkan semenjak zaman Nabi lagi murtad berlaku.
"Orang murtad tidak pernah mendapat tempat istimewa dalam mana-mana masyarakat. Bagaimana boleh dikata pindaan akta ini kelebihan untuk mereka?" bidasnya.
Ustaz Zolkharnain menyifatkan murtad tiada kaitan dengan peruntukan akta tetapi berkaitan dengan perangai individu Islam yang gagal dalam dakwah dan akhlak mereka untuk menonjolkan keindahan dan rahmat Islam.Beliau turut menafikan anggapan Riduan kononnya kelulusan pindaan akta tersebut bererti kekalahan besar terhadap kepentingan Islam dan kemenangan moral buat pembenci Islam di negara ini.
"Kenapa Riduan kata Islam kalah besar? Jika Pas yang kalah undian dalam Parlimen, itu kekalahan Pas bukan kekalahan Islam.
"Pas kalah tak semestinya Islam kalah. Riduan rasa hanya Pas saja yang berjuang Islam?" bidasnya.
Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain berpendapat pindaan Akta 164 merupakan kemenangan Islam dalam tenpoh jangka panjang bukan kekalahan.
"Pindaan (Akta 164) ini memberi ruang Islam dipandang hormat oleh orang lain apabila orang Islam menunaikan hak dan tanggungjawabnya dengan sempurna," tambahnya lagi.
Dengan lulusnya pindaan Akta 164 itu, hak diberikan kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam bagi memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil mengikut peruntukan Subseksyen 51(1) Akta 164.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan itu berkata, pindaan tersebut mewujudkan pilihan kepada yang memeluk Islam atau yang masih beragama asal untuk menyelesaikan perceraian di mahkamah sivil.
"Kita tak mahu situasi ada pihak tidak bertanggungjawab larikan diri daripada mencerai atau membubarkan perkahwinannya dengan bekas pasangan, sehingga seolah-olah ada dua keluarga (apabila berkahwin lain). Pindaan ini supaya yang memeluk Islam boleh ke mahkamah sivil," kata Azalina.