Update Penyerang mungkin SASAR KERUSI 'KOSONG' NAJIB, kata Dr Mahathir >> Berita Malay 18


Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gentar dengan keganasan yang berlaku di forum “Nothing to Hide 2.0” minggu lalu, malah sempat bergurau penyerang perlu lebih tepat sasaran mereka sekiranya mahu mencederakan beliau di acara itu.
Dalam temu bual dengan FMT di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam, ahli politik berusia 92 tahun itu menceritakan kembali kejadian Ahad lalu dari sudut pandangnya.
“Saya sedang berdiri ketika itu menjawab soalan tentang Memali apabila mereka mula melontar kerusi dan botol.
“Tetapi peliknya, mereka bukan melontar ke arah saya, mereka melontar objek ke sebelah kanan saya, iaitu kerusi kosong untuk Najib,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan jemputan ke program tersebut, tetapi tidak hadir.
“Mungkin sasaran mereka tidak jitu, mungkin mereka rabun, tetapi barang yang dilontar itu tersasar, bukan ke arah saya,” katanya.
Keganasan tercetus sebaik sahaja Dr Mahathir menjawab soalan salah seorang daripada hadirin mengenai penglibatan beliau dalam peristiwa berdarah Kampung Memali di Kedah pada 1985.
Ia disusuli dengan kerusi, kasut dan suar dibaling ke arah pentas, memaksa penganjur membatalkan majlis. Polis setakat ini menangkap 13 orang yang disyaki menimbulkan kekacauan, dan bercadang memanggil penganjur kerana gagal menjamin keselamatan.
Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata para penyokongnya bimbang akan keselamatan dirinya ketika itu lalu menyerbu ke pentas.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau tidak takut.
“Apa yang nak ditakutkan? Kerusi yang dilontar tidak mengenai saya, botol yang dibaling tidak mengenai saya.
“Semuanya dilontar ke sebelah kanan saya, dan di sebelah kanan saya ialah kerusi kosong.
“Oleh itu saya akan teruskan apa yang perlu saya lakukan. Saya tahu orang-orang itu (perusuh) orang upahan yang diajar untuk merusuh,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata kejadian seperti itu menunjukkan keganasan dalam politik akan bertambah dengan tujuan meraih sokongan.
Menurutnya, pihak berkuasa, termasuk pemimpin kerajaan tidak berbuat apa-apa yang menghentikannya.
Dalam kejadian “Nothing to Hide 2.0”, Dr Mahathir berkata pemimpin Umno cepat menuding jari kepada partinya, PPBM.
Dakwaan mengatakan PPBM merancang kekecohan itu tidak masuk akal sama sekali, katanya.
“Tetapi sudah tentu, berbohong perkara biasa dalam pemimpin kerajaan sekarang.”

Subscribe to receive free email updates: