Update Tuduh cabutan bertuah, Mukhriz kebudak-budakan, kata Annuar Musa >> Berita Malay 18

Ketua penerangan Umno itu sebelum ini menyangka Mukhriz Mahathir seseorang yang akan bercakap secara lebih matang.
annuar-Mukhriz Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menbidas dakwaan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mendakwa Umno memberikan hadiah untuk menarik ahli menyertai mesyuarat bahagian di negeri itu.
“Dia sangat kebudak-budakan. Saya sangka dia seseorang yang akan bercakap secara lebih matang,” katanya kepada FMT.
Annuar mengulas ucapan timbalan presiden PPBM itu di ceramah Jelajah Semarak bersama-sama Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin di padang Majlis Perbandaran Seberang Perai di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.
Mukhriz mendakwa Umno mengadakan cabutan bertuah untuk mengumpan ahli dengan hadiah seperti dron, kereta, motorsikal dan “rumah PPR” supaya mereka datang ke mesyuarat bahagian.
“Itu keadaan Umno ketika ini, kerana nila setitik ni sudah rosak dah parti itu,” katanya, merujuk kepada Presiden Umno sekarang, Datuk Seri Najib Razak.
Annuar berkata tindakan seperti Mukhriz itu hanya merendahkan diri sendiri.
“Kalau dia kata begitu, adakah sebelum ini dia pun terlibat dalam pemberian hadiah?” soalnya.
Sementara itu, Bendahari Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tuduhan seperti itu cubaan pembangkang hanya untuk mencipta persepsi buruk dalam kalangan masyarakat.
“Ahli Umno dan mereka yang menghadiri acara tersebut lebih mengetahui,” katanya kepada FMT.

Subscribe to receive free email updates: