Lawatan itu hanya budaya dan tradisi biasa orang Melayu sesuai dengan ajaran Islam menggalakkan sesama Islam mengadakan ziarah dan kunjung mengunjungi ke atas saudaranya yang uzur atau sakit bagi memberi semangat kepadanya. Kunjungan tiga orang pemimpin PKR itu juga atas maksud sama.
Abdul Hadi masih dalam perihatan selepas menjalani pembedahan jantung sebulan lalu. Beliau masih dinasihatkan bercuti dan tugasnya sebagai presiden Pas dipangku oleh timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tidak ada apa-apa kenyataan dikeluarkan berhubung kunjungan berkenaan. Cuma Azmin memberi penjelasan kunjungan itu biasa dan tidak ada agenda politik? Persoalannya kenapa kunjungan secara bersama, presiden dan seorang naib presiden PKR? Dan kenapa Azmin harus menyatakan ia tidak ada agenda politik?
Tetapi atas sifat dan menerima bidalan kata, tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada apa-apa, kunjungan itu tetap membawa sesuatu yang menarik dan akan dinilai dengan berbagai tafsiran. Terutamanya dari pihak Najib Razak dan Umno yang sebelum ini selesa dengan pendirian Pas untuk bersendirian dan mengambil pendekatan politik Matang dan Sejahtera, pertemuan di bulan Zulkaedah di antara Hadi dengan pemimpin PKR itu sedikit sebanyak meresahkan Najib. Najib boleh menyebabkan mula membuat perhitungan yang kurang enak.
Dengan memahami bahawa politik itu bersifat dinamik, berubah, tentu presiden Umno membuat semakan dan mencari apakah tujuan tiba-tiba pemimimpin PKR itu mendatangi Abdul Hadi, dan Abdul Hadi pula bersedia menerima mereka dengan penuh mahabbah?
Apa dibimbangkan Najib, manalah tahu kalau-kalau Abdul Hadi merombak pendiriannya sebelum ini dan membuat pertimbangan baru untuk kembali bersatu dengan parti pembangkang dan melupai hasrat untuk bersendirian, dalam masa sama menjalani kerjasama (ta’awun) dengan Umno. Apakah hasil pertemuan 30 ahli jawatan kuasa kerja Pas dengan Arul Kandasamy boleh merubah prinsip politik Abdul Hadi?
Najib juga boleh berfikir Pas mungkin mengubah pendirian setelah menyedari ura-ura untuk berkerjasama dengan partinya menyebabkan ahli dan penyokong parti agama itu menentang dan sedia meninggalkan Pas. Ini mungkin yang dinilai semula oleh Abdul Hadi.
Mengenai pertemuan itu, Najib dan orang Umno tidak boleh menerima begitu sahaja melainkan dicari apakah sebab musabab sehingga membawa ketiga orang pemimpin itu menemui Abdul Hadi. Apa juga yang mungkin difikir dan menimbulkan tanda tanya kalau kunjungan itu untuk semata-mata ziarah, kenapa selepas sebulan Hadi menjalani pembedahan jantung, bukan diawal-awal.
Read More / Baca Lagi >>