Pemimpin veteran DAP berkata kemenangan itu bukan sahaja di peringkat pusat, tetapi juga menumbangkan BN di 3 negeri.
“Tsunami Malaysia ini akan berlaku sekiranya 10% orang Melayu dan 5% bukan Melayu beralih sokongan daripada BN kepada PH, dan pengundi tahu membezakan PH dan PAS.
“Kemenangan ini bukan sahaja di peringkat pusat, tetapi juga menumbangkan Barisan Nasional (BN) di 3 negeri,” kata veteran DAP, Lim Kit Siang kepada wartawan di sini.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu menambah negeri yang bakal ditawan PH ialah Perak, Negeri Sembilan dan Johor, selain mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor dengan majoriti lebih besar berbanding PRU13.
“Jika PH boleh mengawal kerajaan 5 negeri yang paling dinamik ekonominya dan membentuk kerajaan persekutuan, ini akan membuka jalan bagi transformasi ekonomi dan politik tulen negara.
“Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor telah membuka jalan itu sejak 8 tahun lalu dengan memperkenalkan pembaharuan di pelbagai peringkat dan menunjukkan apa itu tadbir urus yang baik.”
Malah, katanya, jika pemerintahan 60 tahun BN tumbang, PH akan memulakan kerajaan baharu dan pengundi di negeri lain dapat melihat perbezaan jelas antara PH dan BN.
“Tsunami Malaysia akan membuka jalan untuk masa depan lebih baik untuk semua, baik di peringkat negeri mahu pun persekutuan,” katanya.