Naib presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, polis menyiasat dakwaan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memfitnah.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli disoal siasat polis hari ini susulan dakwaannya berhubung urus niaga kerajaan Malaysia dan Arab Saudi membabitkan kerugian sebanyak RM142 juta.
Naib presiden PKR itu berkata, polis menyiasat dakwaan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memfitnah.
“Saya dipanggil untuk disoal siasat mengenai 2 kenyataan dan 1 rakaman video mengenai pelaburan Prasarana di Arab Saudi yang saya bongkarkan rugi RM142 juta berdasarkan jawapan diberikan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak.
“Saya faham kenapa kontroversi (ini timbul) kerana kenyataan dan rakaman video saya itu menyentuh walaupun Najib mengaku Arab Saudi menderma kepada dia, tetapi sebenarnya berdasarkan rekod, yang bagi derma ialah rakyat Malaysia kepada Arab Saudi,” katanya kepada FMT di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Beliau hadir ke balai polis pada jam 5.15 petang tadi dan menghabiskan sejam setengah untuk merekodkan keterangannya.
Pada 27 Julai lalu, Rafizi mendakwa Malaysia terpaksa menanggung kerugian dalam urus niaga dengan Arab Saudi, sejak isu derma RM2.6 bilion didedahkan.
Najib sebelum ini berkata, RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya adalah sumbangan kerabat diraja Arab Saudi untuk jentera pilihan raya Umno pada 2013, walaupun ada pihak mendakwa ia ada kaitan dengan skandal 1MDB.
Read More / Baca Lagi >>