Tidak kira sama ada pembangkang atau kerajaan, ahli politik dilihat tidak mementingkan anak muda.
PETALING JAYA: Aktivis pelajar Anis Syafiqah yang sebelum ini berdepan tindakan kerana menganjurkan perhimpunan anti-kerajaan mengakui kebanyakan orang muda sudah “muak” dengan ahli politik.
Anis berkata antara sebab berlaku demikian ialah ahli politik sama ada di pihak pemerintah mahupun pembangkang, dilihat tidak berminat dengan kepentingan anak muda.
Anis memberi contoh bagaimana tampuk kepimpinan kerajaan dikuasai golongan “veteran”.
“Saya tak salahkan 100% golongan veteran yang tak memberi ruang kepada anak muda tetapi saya juga tidak menafikannya sebab anak muda juga tak ramai mahu mengisi ruang-ruang tersebut,” katanya mengulas sebuah kaji selidik yang mendapati sebahagian besar belia di negara ini tidak berminat dengan politik menyebabkan mereka juga tidak berminat berdaftar sebagai pengundi.
“Saya setuju kalau anak muda sekarang ini rasa dipinggirkan dalam membuat keputusan politik disebabkan mereka bercelaru dengan keadaan politik semasa,” kata Anis.
Pengarah Merdeka Center yang menjalankan kajian “Persepsi Anak Muda terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa Kebangsaan”, Ibrahim Suffian, berkata budaya politik di Malaysia tidak menggalakkan kritikan terbuka dan ini antara sebab golongan muda kurang berminat dengan politik.
Kaji selidik itu antara lain menunjukkan 7 daripada 10 orang muda tidak mempercayai ahli politik manakala lebih separuh menganggap pemimpin politik tidak pedulikan rakyat.
Lebih 3/4 daripada responden berkata mereka tidak peduli langsung hal politik, manakala satu dalam 4 orang percaya kalau terlibat dalam proses politik pun, mereka tidak dapat mempengaruhi dasar kerajaan.
Anis berkata ramai rakan sebayanya keliru untuk memilih sama ada pembangkang atau kerajaan.
“Banyak kawan-kawan yang dulu ada pegangan politik tak tahu nak undi siapa ini.
“Kalau di media setiap hari ada pergaduhan dalam politik, kerajaan dan pembangkang, ini membuatkan pening untuk memilih,” katanya, sambil memberi contoh perpecahan dalaman Umno dan juga Pakatan Harapan (PH).
Seorang lagi bekas pemimpin pelajar, Adam Adli berkata ada beberapa perkara tidak jelas dalam politik menyebabkan mereka sukar membuat keputusan memilih untuk mengundi.
Katanya, ia berbeza daripada pilihan raya umum 2008 dan 2013 di mana seluruh pembangkang jelas agenda menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.
“Ledakan maklumat di sosial media juga ada yang mengelirukan dari segi fakta, sama ada perkara benar atau tidak juga boleh menyebabkan anak muda kurang berminat dalam politik,” katanya. FMT
Ivy Chong turut menyumbang laporan ini.