Bagaimanapun, masa tidak menunggu kita semua. Kepantasan waktu berlari menuntut kepimpinan utama PH untuk membuat keputusan penting sekali gus mengatur strategi kemenangan bagi menghadapi berlakunya PRU14 pada bila-bila masa dari sekarang.
Umum mengetahui, setelah hampir 2 tahun usaha keras dan bersungguh rakan-rakan parti PH untuk membawa PAS ke gelangang satu lawan satu, akhirnya rakyat di luar sana boleh menghakimi dengan jelas, adil dan saksama tentang parti manakah sebenarnya yang sedang menggagalkan segala niat dan usaha murni ini.
Amanah yakin dan percaya keputusan Majlis Presiden PH secara kolektif yang telah memutuskan untuk tidak lagi mengadakan sebarang perundingan dengan PAS bukanlah satu keputusan yang mudah, terburu-buru atau pra matang. Keputusan Majlis Presiden PH telah dengan cermat, teliti dan sabar memperhitungkan segala kebijakan politik dan meraikan sepenuhnya perbezaan pandangan dikalangan pimpinan utama PH.
Melalui keputusan Majlis Presiden PH sajalah yang berhak dan berkemampuan untuk merumus segala pendirian parti-parti dalam PH. Membina persepsi rakyat bahawa PH adalah tempat mereka bergantung harapan adalah keutamaan semua pimpinan utama PH.
PH telah membuka jendela perundingan dan ruang waktu yang mencukupi untuk pertarungan satu lawan satu bagi menumpaskan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang. Kini, biarlah rakyat berbicara parti manakah yang membuat durjana.