Pemimpin Pas dilihat secara sinis mengungkit 'sumbangannya' kepada PKR dengan menegaskan tanpa Pas, PKR tidak akan berupaya wujud seperti pada masa ini.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim (Gambar bawah) bahkan berkata, Timbalan Presiden PKR, Datuk Azmin Ali tidak berpeluang menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya pemimpin Pas tidak berjiwa besar.
"Kalau nak bercakap tentang soal bagaimana seorang pemimpin perlu berjiwa besar dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan, maka kita mempunyai kisah panjang untuk dinukilkan bagaimana jiwa besar yang dimiliki oleh pemimpin Pas dalam berfikir dan bertindak.
"Tanpa jiwa besar pemimpin Pas, Azmin Ali tak akan duduk di kerusi Menteri Besar seperti sekarang. Tanpa jiwa besar pemimpin Pas yang membelai dan mengasuh bayi PKR dengan penuh kesabaran selama ini, PKR tak akan mampu berada dalam kedudukan seperti sekarang," tegasnya.
Dr Azman juga menyifatkan PKR boleh mencari haluan sendiri memandangkan Pas, jelasnya, sudah pun 'melepaskan' parti diterajui Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.
"Tak ada masalah kalau jasa besar Pas dinafikan sebab Pas pun dah lepaskan PKR bina kehidupan sendiri.
"Pandai-pandailah hidup sendiri dan cari makan sendiri. Kalau berbalah sesama sendiri pun janganlah sampai heboh seantero dunia. Malu kokram! (Malu kat orang)," sinisnya dalam loghat pantai timur.
Dilihat lebih ketara menyindir PKR, Dr Azman memberitahu Pas juga tidak memerlukan 'warkah dari penjara' dan mengingatkan Pas 'tak pandai berbelit-belit'.
"Dalam apa jua rundingan, syarat Pas ialah sama ada kepentingan Islam terjaga atau terabai. Jaga Islam maka perkara lain akan terjaga. Abaikan Islam maka kita akan lihat betapa kucar-kacirnya semua urusan.
"Kita tak perlukan warkah dari penjara untuk mengajar kita tentang politik. Cukup dengan warkah dari Allah dan Rasul untuk mengajar kita jalan mana yang perlu dipilih," ujarnya.
Read More / Baca Lagi >>