“Sangat mewah dan lumayan habuan rompakan ini yang kini dimercutandakan dengan ‘rantai berlian merah jambu’ berharga RM116.8 juta (US$27.3 juta) untuk isteri MO1 dan pelbagai pembelian hartanah, aset-aset kemewahan yang luar biasa oleh penyangak-penyangak antarabangsa ini,” ujar Presiden AMANAH Mohamad Sabu.
Lebih mengaibkan, tambah beliau ketika Mahkamah Singapura dan Abu Dhabi telah mensabitkan kesalahan jenayah di bawah akta ‘penggubahan wang haram’ ke atas individu-individu tersebut serta menutup bank swasta Swiss seperti BSI dan Falcon di Singapura, di negara kita sendiri belum ada seorang ‘penyamun’ pun diheret ke mahkamah dan jauh lagi untuk disabitkan kesalahan.
Berucap menyampaikan Pidato Presiden pada Konvensyen AMANAH Nasional ke-2 di sebuah hotel di Alor Setar, Mohamad memberi pengiktirafan kepada Gabernor Bank Negara kerana telah mendedahkan kepada pihak ketua pembangkang bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti terbesar di negara ini, sebanyak RM115.8 juta ke atas institusi kewangan dalam urusniaga bersabit 1MDB.
“RM53.7 juta dikenakan ke atas AmBank Group atas ‘ketidakpatuhan’ (non-compliance) bersabitan urusniaga 1MDB dan saya yakin adalah atas pembabitan dua akaun tersohor MO1 berjumlah RM681 juta itu.
“Soal besarnya siapa pula yang bayar baki RM62.1 juta lagi? 1MDB sendiri? Ya, kenapa perlu bayar kalau benar tidak ada apa-apa masalah dalam urusniaga 1MDB? Masih adakah lagi rakyat Malaysia yang bertanggapan bahawa angkara 1MDB ini cerita tahyol rekaan Amerika dan Yahudi, untuk menjatuhkan sebuah kerajaan Islam di Malaysia ini?
“Bila lagi Peguam Negara mahu membuka kembali siasatan kerana beliau telah mengisytiharkan keputusan NFA atau ‘No-Further Action’ sedikit waktu dahulu? Ada pula yang mudah ‘berpuashati’ dengan program rasionalisasi 1MDB oleh Najib, kononnya akan segera selesai masaalah timbunan hutangnya,” ujar beliau.Read More / Baca Lagi >>