Update Gandingkan kesusahan hidup dengan kleptokrat >> Berita Malay 18


Gandingkan kesusahan hidup dengan kleptokrat
Penganalisis politik, Hisomuddin Bakar berpendapat kempen anti-kleptokrasi yang merujuk kepada pemerintahan merompak perlu serentak dengan perjuangan mengatasi desakan hidup dialami masyarakat Melayu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre itu berkata, Pakatan Harapan harus bekerja keras kerana pemimpin yang dikatakan kleptorat itu tidak mesra kepada pengundi di kawasan pedalaman.
“Namun istilah-istilah jargon (kleptokrat) seperti itu sebenarnya agak kontradik dengan keperluan dan juga desakan hidup yang berlaku di peringkat akar umbi dan kawasan majoriti Melayu yang rata-ratanya miskin.
“Jika kempen Pakatan Harapan menggandingkan isu yang dekat dengan rakyat marhaen, di samping isu rasuah maka tidak mustahil akan berlaku lonjakan sokongan Melayu,” ujarnya dipetik dari akhbar Suara Keadilan Bilangan 346 keluaran minggu ini.
Menurutnya, mana-mana kajian melaporkan kelompok yang berada di kawasan majoriti Melayu lebih terkesan dengan isu kesusahan hidup.
Mengulas Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi, 14 Oktober lalu, beliau menyifatkan segmen peserta Melayu yang semakin bertambah mencecah 60 peratus itu memberi petanda baik kepada Pakatan Harapan.
Katanya, peranan aktif Bersatu telah mengubah landskap sokongan masyarakat Melayu di kawasan-kawasan luar bandar yang sebelum ini dikuasai Umno dan Pas.
Walhal, mereka ini, jelasnya, kurang peka dengan isu-isu nasional sebelum ini dan enggan menyertai himpunan anjuran pembangkang.
“Dengan adanya parti serpihan dari Umno itu (Bersatu) dan sikap Pas yang tidak bersama blok Pakatan Harapan, ia memberi impak positif kepada pembangkang untuk meraih sokongan di kawasan pedalaman majoriti Melayu,” ujarnya.
Walaupun mengakui siri jelajah dan ceramah anjuran Pakatan Harapan sebelum ini bukan pengukur mutlak pengaruh Pakatan Harapan, Hisomuddin berpendapat himpunan di Petaling Jaya itu menggambarkan wujudkan lonjakan pengaruh pada segmen kawasan yang bermajoriti Melayu.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :