Update Shahrir sedia berdepan nama besar pembangkang >> Berita Malay 18

Ahli Parlimen Johor Bharu itu bersedia menentang calon pembangkang walaupun pembangkang berhasrat menjadikan Johor negeri barisan depan mereka.
shahrirJOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad sedia berdepan nama besar dalam pakatan pembangkang yang mahu bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Pada awal ramalan saya, PRU 14 adalah paling mudah. Tetapi apabila dengar macam-macam (nama) hendak datang ke Johor termasuk Khalid Abd Samad (Ahli Parlimen Shah Alam), saya ingat kalau semua sudah berminat pada Johor, saya pun berminat jugalah berdepan dengan mereka dalam apa pun kedudukan,” katanya kepada pemberita selepas program Dialog Perjuangan 4 All malam tadi.
Program itu turut disertai Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Shahrir yang juga pengerusi Felda mengulas hasrat pembangkang menjadikan Johor sebagai negeri barisan depan mereka semasa PRU14.
Beliau menegaskan beliau tidak akan berundur sebaliknya bersedia menentang mana-mana calon besar pembangkang.
“Dengan Mahathirnya (Tun Dr Mahathir Mohamad)… dengan Anwarnya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan Muhyiddinnya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Kit Siang (Lim Kit Siang), semua hendak terus tumpu jadikan Johor frontline state (negeri barisan depan), jadi takkanlah saya hendak undur,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata budaya bertanding secara berpindah-randah seperti dilakukan Lim bukan budaya dimahukan Barisan Nasional (BN).
“Frontline state bagi kita (BN) adalah semua negeri sebab kita hendak perintah Malaysia. Kita bukan soal mahu menggodak hanya satu negeri sahaja.
“Tidak bolehlah berpolitik macam Lim Kit Siang buat. Apa yang dia balas pada pengundi apabila dia berpindah? Dia tidak minat berkhidmat kepada pengundi dan biarlah rakyat menilai tindakan seperti ini,” katanya.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: