Mufti Perlis dipercayai menghalakan kritikannya terhadap pegawai Jakim, Zamihan Mat Zin yang ditugaskan dalam program 'deradikalisasi' anjuran KDN.
“Bolehkah pelampau memulihkan pemikiran pelampau? Ini bukan kali pertama beliau menzahirkan pemikiran pelampaunya,” kata Asri dalam catatan di Facebook, sambil merujuk kritikan terhadap langkah sebuah surau di Pulau Pinang membenarkan orang bukan Islam berehat di ruang solat untuk berlindung daripada banjir paling dahsyat di negeri itu.
“Tidak cukup mengkafirkan sesama Muslim selama ini, diheret pula non-Muslim ke dalam kancah ekstremisme beliau,” tulis Asri.
Ia dipercayai merujuk kritikan Zamihan baru-baru ini selepas gambar mangsa banjir bukan Islam berehat di sebuah surau di Taman Free School, George Town.
Zamihan memuat naik penjelasan panjang lebar fekah, sambil mempersoalkan bukan Islam dibenarkan di ruang solat tanpa menutup aurat. Malah, beliau berkata keadaan belum mencapai “darurat” untuk melakukan sedemikian.
Zamihan merupakan pegawai Jakim yang dipinjamkan kepada Kementerian Dalam Negeri, dan kini aktif menjalankan program pemulihan terhadap tahanan suspek militan.
Dua hari lalu, beliau memuat naik gambar dari Penjara Tapah, Perak di akhir sesi pemulihan dan “deradikalisasi” yang menyentuh hukum jihad, di samping peranan polis dan tentera.
Read More / Baca Lagi >>