Update Dr Mahathir lebih fikir nasib Melayu dari yang lain, kata Asri >> Berita Malay 18

Asri berkata beliau mengenali Dr Mahathir sejak sedekad dan menolak dakwaan bekas PM itu khianati Melayu.
Mohd-Asri-Zainul-AbidinPETALING JAYA: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada tuduhan mengkhianati Melayu yang kerap ditimbulkan beberapa media dan musuh politik bekas perdana menteri.
Dalam muat naik ringkas di Facebook, Asri berkata beliau tidak mahu mencampuri urusan politik, sebaliknya berkata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lebih banyak berjasa kepada orang Melayu berbanding “ramai yang lain”.
“Setahu dan seingat saya, ditambah dengan pengenalan saya secara dekat dengan Tun M sejak tahun 2007, beliau lebih fikir tentang nasib Orang Melayu dibandingkan ramai yang lain.
“Saya banyak kali berbual secara peribadi dengan beliau sejak dahulu. Saya kata ‘hati nurani beliau sangat Melayu’,” kata Asri.
Pandangan Asri itu di sebalik pelbagai serangan daripada pemimpin Umno, yang antara lain menganggap Dr Mahathir bukan daripada keturunan Melayu dan memperdayakan orang Melayu.
Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap kepada perwakilan Umno Kelana Jaya berkata Dr Mahathir seorang yang “berketurunan India”, dan mengumumkan butiran kad pengenalan yang tertera “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.
“Patut lah dia kata kita mudah lupa. Sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,” kata Zahid semasa berucap menutup Mesyuarat Perwakilan Umno Kelana Jaya.
Dalam responnya, Dr Mahathir berkata kad pengenalan itu tidak wujud.
“Kalau dia boleh tunjuk, saya nak tengoklah. Jangan nak sembunyi,” katanya.
Asri berkata pandangannya mempertahankan Dr Mahathir dibuat kerana “kita wajar bercakap benar”.
“Kebencian kita kepada seseorang tidak wajar sehingga kita menzalimi haknya,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: