Update Ibu segala bajet sepatutnya penyayang bertanggungjawab >> Berita Malay 18


Dr Hatta Ramli (AMANAH-Kuala Krai) menyifatkan Belanjawan 2018 yang dianggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai ibu segala bajet bercanggah dengan konsep ibu itu sendiri.
Beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam berkata, respons seorang ibu dalam sebarang masalah dalam keluarga adalah sangat penyayang, lemah-lembut serta mengambil perhatian daripada segi emosi dan fizikal.
Ibu segala bajet sepatutnya penyayang bertanggungjawab, kata Hatta“Ibu lebih sensitif dan penyayang. Ibu juga tidak meminta balasan apabila memberi kerana menganggap itu sebagai tanggungjawab.
“Tidaklah seperti ibu segala bajet ini. Penghujungnya minta rakyat menyokong BN. Ini tidak kena. Ibu juga tidak mengambil hak anak-anak dan keluarga, tidak mencuri.
“Kita tidak pernah dengar seorang ibu kleptokrat,” sinisnya sebelum mengingatkan rakyat agar berwaspada terhadap ibu segala bajet itu.
Beliau berkata, Menteri Kewangan itu boleh mengemukakan statistik yang ‘manis-manis’ tetapi realitinya sukar dan pahit untuk ditelan oleh majoriti rakyat berpendapatan rendah.
“Beberapa hari lepas perbahasan insurans pekerja. Dikhabarkan setiap tahun berlaku 50,000 pembuangan pekerja dan jumlah ini meningkat.
“Apakah masa depan kita akan lebih baik? Kita risau sesi depan, Speaker pun hilang jawatan,” tempelaknya.
Menurutnya, peningkatan pengangguran juga menggambarkan satu trend kemerosotan ekonomi selain tekanan inflasi yang memberi kesan pedih kepada rakyat.
“Inilah inflasi. Rakyat terasa kepedihannya walaupun ada yang kata inflasi di negara ini rendah. Tapi salah satu komponen IHP (Indeks Harga Pengguna) adalah makanan.
“Walaupun secara puratanya indeks tidak meningkat dengan banyak tetapi kesan kepada rakyat sangat teruk kerana harga makanan meningkat dengan banyak,” jelasnya.
Menjawab celahan Abdullah Sani (PKR-Kuala Langat) berkenaan penutupan operasi lima pasar raya besar Giant, Dr Hatta berkata, tindakan itu mengancam kedudukan pekerja terbabit.
“Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kata penutupan lima Giant ini tidak menggambarkan negara akan bankrap.
“Andaikan Giant sekurang-kurangnya mempunyai lebih 100 pekerja. Kalau lima, sudah lebih 500 orang akan hilang pekerjaan.
“Ini tidak termasuk sektor perbankan, (pemberhentian kakitangan) MAS yang lepas. Jadi, menteri jangan mengambil kecil masalah penutupan Giant ini,” tegasnya.
Meneruskan perbahasannya, Dr Hatta berpendapat rakyat sebenarnya tidak mampu berbelanja seperti kelazimannya walaupun Giant dikenali sebagai pasar raya yang menawarkan barangan pada harga yang munasabah.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: