Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, beliau percaya ramai guru yang marah dan kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan yang meletakkan kelemahan guru sebagai punca 60 peratus sekolah berhadapan masalah KBAT yang mula diperkenalkan pada tahun 2013.
“Kenyataan begini, pada hemat saya, turut mencerminkan sikap tidak cermat dan angkuh sebuah kementerian dalam membentuk sistem pendidikan yang sesuai dengan pembangunan masyarakat.
“Kemudian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pula berkata isu murid lemah KBAT akan selesai tahun hadapan.
“Kenyataan yang berpemikiran aras rendah ini saya lihat amat tergesa-gesa dan seperti mahu menutup kelemahan kenyataan awal Datuk P. Kamalanathan.
“Perlu juga ditanya sejauh mana pula kerajaan memahami tahap persediaan para guru yang akan melaksanakan kaedah KBAT ini di dalam kelas?
“Adakah para guru ini disediakan suasana kerja yang sesuai atau golongan pendidik ini masih dilambakkan dengan pelbagai tugasan perkeranian yang tiada kaitan dengan tugas hakiki mereka?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan dibuat Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan, semalam, yang dipetik berkata, penerimaan dan pemahaman guru antara punca 169 buah sekolah berada di bawah tahap baik dan cemerlang hasil pemeriksaan penarafan amalan terbaik Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Katanya lagi, statistik itu mewakili 60 peratus daripada 282 buah sekolah rendah dan menengah yang dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.
Dalam 282 sekolah hanya 40 peratus sekolah ini telah mencapai tahap baik dan cemerlang sementara 60 peratus sekolah masih ada masalah (berada di bawah tahap baik).
Read More / Baca Lagi >>