Update PRU14 ‘perang’ wajib dimenangi, sembang Hishammuddin >> Berita Malay 18

AHLI Umno perlu membulatkan tekad, mengutamakan kepentingan parti dan melupakan kehendak peribadi demi memastikan kemenangan besar Barisan Nasional pada  Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein.
Tegas beliau PRU14 adalah satu ‘peperangan’ yang mesti dimenangi dan Umno tiada pilihan lain.
"Marilah kita satukan iltizam dan bulatkan tekad, Boleh? Boleh kita gempur dan tawan kubu-kubu musuh? Kita serang mereka! Boleh? Kita ranapkan Pakatan Harapan DAP!
"Bangun dan bangkitlah tuan-tuan dan puan-puan ‘orang Umno’! Bersatulah seolah-olah kita tidak pernah bersatu sebelum ini. Kukuhkan solidariti, rapatkan barisan, eratkan perpaduan," katanya penuh semangat semasa menggulung perbahasan pada penghujung  Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 hari ini.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, turut mengajak perwakilan untuk memegang peringatan presiden dan timbalan presiden parti agar mendahulukan perjuangan parti daripada kedudukan.
“Sekembalinya kita nanti (daripada perhimpunan ini), segala gerak, tindak dan perbincangan hanya berkisar bagaimana untuk memenangi pilihan raya,” kata Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas.
Beliau berkata Umno perlu berada di landasan tepat untuk mendapat mandat besar dan sokongan rakyat bagi  meneruskan usaha membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negara.
Sementara itu, Hishammuddin turut mengutuk tindakan pembangkang yang disifatkannya sebagai biadab apabila semakin berani menghina institusi diraja.
Dalam isu ini, beliau berkata pembangkang bukan sahaja mengheret rakyat untuk tidak lagi menghormati raja-raja yang menjadi lambang demokrasi raja berperlembagaan di negara ini, tetapi turut menolak prinsip taat setia kepada raja seperti disebut dalam Rukun Negara.
“Dengarlah sekalian yang hadir, jika pada tahun 1946, air mata Tuanku mengalir ketika Umno menentang ‘Malayan Union’, hari ini, kita orang Umno yang berhimpun di Dewan Merdeka sekali lagi berjanji, akan terus mempertahankan institusi beraja negara ini.
“Tidak akan izinkan air mata tuanku mengalir lagi. Raja dan rakyat berpisah tiada. Umno dan tuanku juga berpisah tiada,” katanya.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :