Update 'Tak ada satu perkataan pun Khalid sokong Umno' kata Hadi >> Berita Malay 18

Ketika beberapa pemimpin kanan PAS bersikap seakan menjauhi Tan Sri Khalid Ibrahim, presiden parti itu sebaliknya bersikap lebih lunak.
Kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang setakat ini PAS tidak tahu kedudukan pendirian politik bekas menteri besar Selangor itu namun menegaskan belum ada kata putus dibuat beliau mengenai Umno.
"Kita tak tahu lagi. Tak ada satu perkataan pun dia (sebut nak) sokong Umno. Mengikut apa yang saya tahu beliau hanya hadir," katanya kepada media di Shah Alam malam tadi.
Abdul Hadi sebelum itu ditanya pandangannya mengenai kehadiran Khalid di Konvensyen Umno Selangor yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur pada 2 Dis lalu.
Khalid memang sebelum ini menganggotai Umno dan pernah dilantik mengetuai Perbadanan Nasional Berhad (PNB) sebagai ketua pegawai eksekutifnya.
Bagaimanapun beliau mengubah haluan politik menyertai PKR pada 2006 kerana yakin dengan gerakan reformasi yang diperjuangkan parti berkenaan.
PKR kemudian membuat gerakan politik untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar pada 2014 membuatkan beliau diketepikan serta dipecat.

Khalid, 70, kemudian menjadi lebih dekat dengan PAS, terutama Abdul Hadi sendiri.
Khalid pernah dibayangkan akan menyertai PAS namun dari segi politik, beliau kekal sebagai wakil rakyat bebas sama ada di Dewan Undangan Negeri (mewakili kerusi Pelabuhan Kelang) atau Dewan Rakyat (Bandar Tun Razak).
Semalam Malaysiakini melaporkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai berkata, tindakan terbaru Khalid bersama-sama dengan Umno itu sesuatu yang janggal.
Ada rasa lega
Hal itu kerana, kata Tuan Ibrahim, langkah Khalid menyokong Umno dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang bercanggah dengan kedudukan PAS yang bermusuh dengan parti itu.
Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad pula berpendapat langkah Khalid memudahkan mereka kerana ia menjelas kedudukan beliau dalam politik.
“Saya berasa lega Tan Sri Khalid Ibrahim muncul di Konvensyen Umno dan apa yang penting sekarang adalah kita tahu beliau berada di pihak yang mana (Umno).
“Sebelum ini ada ura-ura mengatakan Khalid akan menyertai PAS tetapi hari ini jelas beliau cenderung kepada Umno,” kata Iskandar kepada Malaysiakini.
Hari ini melalui Twitter Khalid menegaskan beliau menyokong gerakan reformasi namun terkilan dengan apa yang berlaku kepada perjuangan berkenaan.


Menurut Abdul Hadi PAS Khalid juga tidak menyertai mana-mana parti politik ketika ini.
"Beliau belum lagi jadi ahli Umno atau ahli PAS. Terpulang kepada dia," katanya.
Pada masa sama menurut Abdul Hadi PAS tetap berpegang kepada prinsip saling bertolongan untuk membuat perkara kebaikan dengan semua pihak.
"Sebagai contoh, masalah banjir yang berlaku kita bantu, tetapi dalam soal rasuah dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) kita tentang," katanya.
Abdul Hadi sebelum itu hadir di majlis makan malam amal dan perasmian Pertubuhan Cakna Yaman Malaysia di sebuah restoran.
Turut hadir Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :