JOHOR BAHRU - Seorang lelaki mati selepas ditikam dan dilanggar oleh sebuah kereta dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini, malam Ahad.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan usia 30-an ketika itu bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta jenis Volkswagen mereka di stesen berkenaan, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam.
Kemudian secara tiba-tiba mereka didatangi empat lelaki yang cuba menarik mangsa ke dalam kereta jenis BMW, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd.
Namun akibat mangsa dilaporkan melawan, jadi berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa. Oleh kerana melihat kejadian itu, wanita yang bersama mangsa bertindak melarikan diri meminta bantuan orang awam.
Katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, "dalam pergelutan itu, mangsa berjaya melepaskan diri namun suspek kemudiannya naik ke kereta dan membuat pusingan di stesen minyak berkenaan sebelum bertindak melanggar mangsa dan kemudiannya mengundurkan kenderaan dan melanggar mangsa sekali lagi sebelum melarikan diri."
Ekoran dari kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan daripada pemeriksaan, polis telah menemui satu kesan tikaman pada dada kiri mangsa, kata Mohd Khalil Kader.
Jelas beliau lagi, pihak polis kini sedang mengambil keterangan daripada wanita asing berkenaan yang dilaporkan masih trauma akibat kejadian itu.
Terbaru, dua suspek lelaki telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.
Difahamkan, motif kejadian masih disiasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sumber: Bernama. Editor: Atila Atasha
Sesiapa mengenali atau dapat mengesan kenderaan ini diminta untuk menghubungi Balai Polis terdekat atau menghubungi Hotline Polis Johor di talian 07-2212999 dengan kadar segera atau hubungi 0111 5938 229 (Insp. Kamal)
Part 1 : Rakaman video di Shell Taman pelangi menyebabkan seorang lelaki mati di tempat kejadian.