Gelaran itu ditujukan kepada Hadi susulan tindakan PAS mengumumkan ia akan bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada PRU14 yang akan memecahkan undi pembangkang dan memberi kemenangan kepada BN.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, pengumuman PAS untuk bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hanya akan memecahkan undi pembangkang dan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional.
“Hadi tahu kebanyakan kerusi itu akan kalah…tetapi dia hanya menangkan (Datuk Seri) Najib (Razak) melalui cara pecahkan undi. Itu niat dia. Itu bukan Islamik. Dalam Bahasa Melayu kita panggil ia pengkhianat,” katanya pada sidang media pelancaran “Harapan Baru: Policy Talk” di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Bekas perdana menteri itu turut menyindir PAS yang kini mengambil pendekatan lebih mesra Umno sedangkan mereka pernah “mengisytiharkan” parti pemerintah itu kafir.
“PAS bertanding sebagai PAS tanpa sertai mana-mana gabungan, mereka takkan menang melebihi 11 kerusi.
“Mereka menang bila sertai (gabungan) bersama DAP, iaitu 21 kerusi. Sekarang bersendirian, mereka akan kalah. Mereka hanya menolong kawan baik mereka yang dulunya kafir dari Umno. Najib adalah kafir, itu menurut PAS lah.
“Dia akan bantu kafir ini yang mana dia kata kalau kerja dengan kafir, akan jadi kafir. Sekarang mereka (PAS) bekerjasama dengan Umno, maknanya dia sedang kafirkan diri sendiri.”
PAS enggan bekerjasama dengan PH yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM, sebaliknya ia menubuhkan blok ke-3 dikenali sebagai Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia.
PAS turut memutuskan kerjasama politik hampir 2 dekad dengan PKR pada Mei 2017, selepas menuduh parti reformasi itu melanggar syarat “tahaluf siyasi”.
Pada 29 Ogos lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, 4 parti komponen dalam Pakatan Harapan memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada PRU14 dan akan merangka strategi bagi menghadapi pertandingan 3 penjuru dengan BN dan parti Islam itu.
Percakaran antara Dr Mahathir dan Hadi memuncak apabila bekas perdana menteri itu mendakwa ahli Parlimen Marang itu punca berlaku tragedi berdarah di Memali pada 1985 yang meragut 18 nyawa, dengan merujuk sebahagian teks ucapan Hadi dikenali sebagai “Amanat Hadi” yang disebarkan pada 1980-an.
Dalam ucapan penggulungan sempena perhimpunan agung pertama PPBM Sabtu lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, mufti sepatutnya menegur “amanat” yang dikeluarkan Hadi pada 1981.
Pengerusi PPBM itu mendakwa, kegagalan mufti menegur amanat itu mendorong penyokong PAS menentang Umno dan BN sehingga membawa kepada peristiwa Memali pada 1985.
Read More / Baca Lagi >>