Update [JERANTUT] PENDUDUK BANTAH PEMBINAAN RUMAH BURUNG WALIT >> Berita Malay 18


Penduduk bantah pembinaan rumah burung walit


Penduduk Kampung Belebar, Kuala Tahan, di sini menandatangani petisyen membantah pembinaan bangunan didakwa projek sarang burung walit berhampiran rumah mereka, semalam.

Kumpulan terdiri 30 penduduk itu turut berkumpul berhampiran tapak pembinaan itu dengan mengadakan bantahan secara aman sambil membawa sepanduk membantah projek itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Wan Temizi Wan Said berkata, beliau menerima surat bantahan dari wakil penduduk kampung 8 Januari lalu.

"Sebaik menerima dan meneliti surat bantahan itu, saya mengambil tindakan menghantar surat kepada pihak terlibat agar tindakan sewajarnya diambil," katanya.

Wan Temizi berkata, empat rumah yang berada di sekitar kawasan pembinaan itu bakal terjejas dengan projek rumah burung walit itu.

"Kita merasakan pembinaan ini sememangnya tidak sesuai kerana berhampiran dengan rumah penduduk.

"Disebabkan itu pada hari ini (semalam) kita datang beramai-ramai berkumpul di sini bagi membantah tindakan itu dan berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya menghentikan projek ini serta-merta," katanya.

Beliau berkata, pihak JKKK langsung tidak dimaklumkan berkaitan pembinaan bangunan itu dan hanya mengetahuinya setelah dimaklumkan oleh penduduk setempat.

"Saya menghubungi pemaju dan dimaklumkan ia projek usahasama dengan tuan tanah. Saya dimaklumkan juga rumah burung walit itu dibuat di tingkat atas sementara tingkat bawah akan dijadikan hotel atau resort," katanya.

Penduduk, Mat Amin Jangi, 63, dan anaknya Jalila Mat Amin, 35, mendapat tahu berkaitan projek berkenaan kira-kira dua minggu lalu dari pekerja yang melakukan kerja-kerja pembersihan tapak di kawasan yang letaknya sekitar 18 meter dari rumah mereka.

Menurut Mat Amin, dia tidak bersetuju sekiranya pembinaan itu bertujuan untuk membuat rumah burung walit kerana bimbang ia akan menjejaskan kesihatan ahli keluarganya yang berada terlalu hampir dengan bangunan yang bakal dibina itu.

"Bukan sahaja bimbang ia akan mendatangkan masalah kesihatan, kami juga bimbang sekiranya rumah burung walit itu akan mendatangkan bunyi bising dan menganggu ketenteraman kami," katanya.

Tambahnya, dia langsung tidak membantah sekiranya tapak itu dijadikan hotel besar sekali pun, namun membantah sekeras-kerasnya jika ia dijadikan rumah burung walit.

Difahamkan bangunan untuk rumah burung walit itu berada hanya sekitar satu kilometer sahaja dari jarak Jeti Kuala Tahan menuju ke Taman Negara.


Subscribe to receive free email updates: