Wee berkata pembangkang sudah biasa meletakkan calon 'bidan terjun' di kerusi yang disandangnya 3 penggal.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata beliau tidak gentar dan sedia berdepan dengan pembangkang termasuk DAP di kerusi Parlimen Ayer Hitam di Johor yang dipegangnya selama 3 penggal.
“Saya tidak gentar dan tidak kira DAP dan Amanah, saya akan berdepan dengan cabaran ini. Saya dengan tabah hati akan bertanding dan sedia untuk mempertahankan kerusi ini berdasarkan rekod yang saya ada sebelum ini,” kata Wee kepada FMT.
Ia di sebalik spekulasi DAP mungkin meletakkan seorang calon dari Amanah untuk bertanding di bawah tiket parti itu.
Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong mengakui rancangan yang telah dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) dalam pembahagian kerusui Parlimen Ayer Hitam itu memang berlaku.
“Itu yang dibincangkan,” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut mengenai strategi DAP itu.
Ayer Hitam mempunyai peratusan pengundi Melayu sebanyak 56%, diikuti Cina sebanyak 38% dan India 4%.
Wee yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata tidak hairan dengan rancangan DAP sekiranya meletakkan calon Amanah.
Katanya, sebelum ini pada PRU13, beliau juga telah berdepan dengan calon “bidan terjun” PAS, Hu Pang Chow, untuk memenangi kerusi itu.
“Dan dia guna pentas DAP untuk berkempen,” kata Wee.
“Secara tradisinya memang PAS akan bertanding dan kini DAP bertanding tetapi guna calon Amanah. Ini biasalah.
“Tidak kira 2 atau 3 penjuru saya akan pertahankan dengan jentera BN yang ada,” katanya.
DAP belum menamakan calonnya untuk kerusi itu bagi menentang Wee, yang berjaya mengalahkan PAS dalam 2 pilihan raya umum berturut-turut sejak 2004.
Majoriti Wee bagaimanapun menurun secara berterusan sepanjang 3 pilihan raya lalu.
Pada 2013, Wee mengalahkan Hu untuk memenangi kerusi itu, dengan majoriti 7,310 undi.
Pada 2008, Wee mengalahkan calon PAS dengan majoriti 13,909 undi.
Pada 2004, beliau mengalahkan calon PAS dengan majoriti 15,763 undi.