"Pulanglah Sikin, mak sakit," rayu seorang warga emas di Felda Kota Gelanggi 1, di sini yang mengharapkan kepulangan cucu dan cicitnya yang dikatakan menghilangkan diri sejak 16 Januari lalu.
Sejak kehilangan dua insan kesayangannya itu kesihatan, Mahiah Latif, 71, terjejas teruk tambahan pula dia kini menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk darah tinggi, jantung dan sakit lutut.
Cucunya, Nor Asikin Mohd Kamal, 24 dan cicitnya yang juga merupakan anak kepada Nor Asikin, Norhana Balqisha Abdullah, 4, disedari tidak berada di rumah mereka pada awal pagi, 16 Januari lalu.
Suami Mahiah, Daud Busah, 75, berkata, dia menyedari ketiadaan Nor Asikin dan Norhana sebaik terjaga dari tidur untuk membawa Mahiah yang terpaksa menggunakan kerusi roda ke tandas sekitar jam 5 pagi.
"Semasa hendak ke tandas, saya perasan pintu bilik Sikin (Nor Asikin) terbuka. Bila saya selak, saya tengok dia dan Ina (Norhana) tiada. Saya mencarinya di ruang tamu dan saya dapati pintu depan tidak berkunci," katanya.
Sebaik menyedari Nor Asikin dan Norhana tiada, Daud terus membuat panggilan kepada seluruh ahli keluarganya dan rakan Nor Asikin untuk bertanyakan tentang kedudukan kedua beranak itu, namun jawapan yang diterima menghampakan.
"Mereka semua beritahu Sikin dan Ina tiada di rumah mereka dan tidak tahu di mana dia berada. Saya hilang punca bagaimana hendak mencarinya lalu meminta ibu Sikin buat laporan polis pada jam sekitar 8.30 pagi hari yang sama," katanya.
Bercerita lanjut tentang Norasikin, Mahiah berkata, Nor Asikin telah dijaga kedua pasangan itu sejak dari kecil lagi sehingga Nor Asikin membahasakan kedua datuk dan neneknya itu 'mak' dan 'abah'.
"Dari kecil sampailah dia kahwin dan kemudiannya bercerai lebih setahun lalu, kamilah yang menjaganya. Begitu juga dengan cicit saya itu yang saya bela sejak lahir.
"Saya tidak tahu kenapa dia menghilangkan diri. Dia seorang yang sangat mendengar kata dan tidak pernah bercerita apa-apa. Saya juga tidak pernah memarahinya, apatah lagi hendak memukulnya," katanya.
Daud dan Mahiah justeru itu merayu kepada orang ramai yang terjumpa atau mengetahui di mana kedudukan cucu dan cicitnya itu agar menghubungi balai polis berdekatan atau menghubunginya ditalian 019-9976581.