Update Pakatan akan tuntut RM400 juta wang 1MDB dirampas Switzerland jika menang PRU14 >> Berita Malay 18

PAKATAN Harapan akan mengambil semula wang RM400 juta yang dibekukan oleh Switzerland susulan siasatan pihak berkuasa negara itu ke atas skandal syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika ia menang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia mempunyai hak ke atas wang tersebut dan boleh menuntutnya.
“Bila kita mengetuai kerajaan, kita akan tuntut semula wang itu. Kerajaan Switzerland tidak akan curi duit itu. Kita ada hak tuntut duit (yang dirampas) oleh Switzerland, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat.
“Ia wang kita. Mereka (Switzerland) tidak akan pulangkan wang itu kepada kerajaan sekarang. Tapi akan pulangkan kepada kita lepas bentuk kerajaan baru,” kata beliau dalam sidang media di Kuantan hari ini.
Semalam, Malaysiakini memetik laporan media Zurich, Tages Anzeiger mengatakan kerajaan Switzerland akan menyerap wang yang dirampas selepas skandal 1MDB didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 2015.
Pada 23 November tahun lalu, lebih 100 NGO Malaysia termasuk Bersih 2.0, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisma (C4) melancarkan kempen mendesak kerajaan Switzerland memulangkan RM433 juta kepada “rakyat biasa” di Malaysia.
Dana yang dikaitkan dengan pelaburan 1MDB itu dirampas daripada bank-bank di Switzerland oleh pihak berkuasa negara itu yang menyiasat dakwaan pengubahan wang.
Dr Mahathir turut menempelak kenyataan Pengerusi 1MDB Irwan Serigar Abdullah bahawa syarikat itu akan ditutup selepas menyelesaikan hutangnya.
Irwan yang juga ketua setiausaha perbendaharaan, semalam dilaporkan berkata hutang 1MDB akan dibayar menggunakan hasil pendapatan projek mega kerajaan seperti pembinaan bandar Tun Razak Exchange (TRX), menara The Exchange 106, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Transit Aliran Massa Kedua (MRT 2).
Menurut Dr Mahathir, pembayaran pelan rasionalisasi untuk menanggung hutang tersebut terlalu tinggi sehingga menimbulkan masalah kepada Kementerian Kewangan.
“Dia nak bayar hutang macam mana? RM42 bilion. Bagitau kita punca mana dia nak bayar semua tu? La ni (sekarang) dia transfer hutang kepada MOF (Kementerian Kewangan). Sekarang MOF pun dah tak ada duit nak bagi."

Subscribe to receive free email updates: