Update PRU14: SERANGAN KE ATAS ROBERT KUOK TANDA KEANGKUHAN UMNO >> Berita Malay 18

Terdapat dua aspek paling nyata di sebalik serangan beberapa pemimpin UMNO, temasuk Najib Razak sendiri,  terhadap taikun Robert Kuok yang juga merupakan orang terkaya di Malaysia.
Pertama, ia menunjukkan UMNO sendiri merupakan penggalak, penyokong dan penyebar berita palsu di sebalik dentam-dentum mahu menggubal undang-undang mencegah berita palsu dan kononnya mereka benci kepada berita-berita palsu.
Hakikat bahawa tuduhan yang mengatakan Robert Kuok ada menyumbang dana kepada DAP dan mahu menentukan penguasaan kaum Cina dalam politik negara adalah semata-mata serangan liar oleh blogger pengecut yang tidak dibuktikan dengan apa-apa fakta dalam tulisannya.
Kenapakah pemimpin UMNO begitu cepat melompat terhadap sesuatu berita yang belum disahkan kebenarannya, selain ia juga ditulis dan disebarkan oleh blogger yang sudah menjadi pengetahuan umum sebelum ini tentang latar belakang dan cara hidupnya?
Jika pemimpin UMNO mempercayai dakwaannya terhadap Robert Kuok, apakah ia bermakna mereka, termasuk Najib turut percaya dakwaan blogger yang sama berkaitan pembunuhan Altantuya dahulu?
Meskipun pejabat Robert Kuok baru mengeluarkan kenyataan pada semalam menafikan segala tuduhan yang dikaitkan terhadapnya, tetapi sebelum ini Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sudah pun menafikan pernah menerima walau sesen wang daripada ahli perniagaan tersebut.
Kenapa penafian dua pemimpin DAP itu tidak diterima pakai?
Apakah yang mahu ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dengan serangan yang belum disahkan kebenarannya terhadap Robert Kuok itu?
Adakah ini menunjukkan Najib dan UMNO sudah mahu mengenepikan sama-sekali sokongan pengundi Cina semata-mata kerana yakin majoriti mereka adalah bersama DAP?
Adakah ia juga memperlihatkan Najib dan UMNO hanya mahu, melalui dakwaan terhadap Robert Kuok itu, bergantung kepada sokongan pengundi Melayu dan bantuan Pas saja untuk menghadapi pilihanraya akan datang?
Kedua, dakwaan dan serangan terhadap Robert Kuok menandakan keangkuhan UMNO seolah-olah negara ini mereka yang punya dan UMNO saja yang betul dalam segala-segalanya.
Sejak bilakah menderma kepada parti politik suatu kesalahan bagi mana-mana individu?
Apakah hanya dengan dakwaan memberi dana kepada DAP, yang akhirnya terbukti tidak benar dan merupakan berita palsu, Robert Kuok layak diserang dengan pelbagai serangan sehingga diminta menyerahkan kerakyatannya?
Bagaimana dengan derma dan sumbangan yang pernah diberikan oleh Robert Kuok kepada UMNO dan MCA sebelum ini sebagaimana ditulis dalam bukunya?
Di manakah budi bahasa pemimpin UMNO dalam hal ini?
Apakah menderma kepada UMNO dan BN saja merupakan perkara halal, manakala sumbangan kepada parti lain suatu kesalahan?
Yang jelasnya, serangan UMNO, termasuk oleh Najib terhadap Robert Kuok,  pastinya akan menyinggung komuniti perniagaan dan masyarakat Cina keseluruhannya.
Jika Robert Kuok pun boleh dilayan sebegitu rupa, sedangkan sumbangannya kepada pemimpin terdahulu ketika awal pembentukan Malaysia dan melalui cukai perniagaan yang berterusan sehingga kini adalah amat besar, maka terusnya UMNO  berkuasa adalah petanda yang lebih bahaya pada masa depan kepada pihak lain yang lebih kecil kedudukannya.
Di Malaysia ini, selagi UMNO berkuasa, kecuali sedia jadi pengampu dan penjilatnya, mereka yang berbeza tidak akan diraikan seadanya, sebaliknya akan diserang dan dikecam dengan pelbagai cara.

Subscribe to receive free email updates: