
Bank Negara dilaporkan telah menulis kepada Pengerusi PAC Datuk Seri Hasan Arifin pada 6 April 2016 untuk mengesahkan bahawa Good Star Ltd, sebuah syarikat yang didaftarkan oleh Cayman Island, dimiliki oleh Low.
Walaupun perkara itu tidak dibawa pada laporan akhir PAC atas dakwaan disebabkan oleh campur tangan Hasan, Wall Street Journal berkata pihaknya ada melihat surat dari Bank Negara berkenaan.
Justeru, kata Pua, Fuzi kini mesti menyiasat sama ada polis benar-benar menyiasat pemindahan $1.03 bilion dari 1MDB ke Good Star dan adakah polis menyoal siasat pegawai Bank Negara yang mengesahkan pembabitan Low dengan Good Star.
"Jika tidak, maka jelas IGP perlu dipecat kerana beliau cuba melindungi penyanggak besar yang merompak rakyat Malaysia," katanya.
Low yang berasal dari Pulau Pinang sekali lagi menjadi tumpuan selepas pihak berkuasa Indonesia merampas Equanimity, sebuah kapal persiaran bernilai AS$250 juta, atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa kapal layar itu dimiliki oleh Low yang dibeli menggunakan dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng.
Susulan itu, beberapa pemimpin dan pegawai kerajaan tampil mendakwa bahawa Low bukan pemilik Equanimity dan bahawa ahli perniagaan itu tidak mempunyai hubungan dengan 1MDB.
Antara mereka, termasuk Fuzi, yang berkata siasatan polis telah merumuskan bahawa tidak ada bukti kukuh bahawa Low mempunyai peranan dalam urusan 1MDB.
Walau bagaimanapun, nama Low tetap disebut-sebut di mahkamah di AS dan Singapura yang membicarakan kes-kes berkaitan 1MDB sama ada yang lampau atau masih berterusan.
Malah pemfailan Jabatan Keadilan (DOJ) AS kerap-kali menyebut nama Low dalam saman sivil mereka untuk merampas aset yang didakwa dibeli dengan wang berkaitan 1MDB.