Update [KUANTAN] TERJERAT DENGAN PINJAMAN WANG TAK WUJUD >> Berita Malay 18



Terjerat dengan pinjaman wang tak wujud



Seorang anggota tentera berputih mata apabila mengalami kerugian RM6,520 selepas ditipu sebuah syarikat pinjaman yang tidak wujud akibat terlalu percaya dengan iklan pinjaman wang di laman Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula ketika mangsa berusia 28 tahun dari Kem Batu 10, di sini melihat iklan tersebut pada 9 Februari lalu, kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, mangsa kemudian bertindak menghubungi nombor talian yang diiklankan dan berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Winson.

"Selepas diterangkan, dia berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM15,000 dan menyerahkan beberapa dokumen peribadi seperti salinan kad pengenalan dan penyata gaji kepada lelaki berkenaan melalui aplikasi WhatsApp," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Wazir memaklumkan, bagi tujuan untuk mendapatkan pinjaman tersebut, mangsa telah melakukan beberapa transaksi pembayaran bermula 10 Februari hingga 23 Februari lalu ke dua akaun Bank CIMB dan satu akaun Hong Leong Bank yang kesemuanya berjumlah RM6,520.

Jelasnya, pembayaran berkenaan adalah untuk bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan insurans serta polisi pinjaman.

"Setelah melakukan beberapa siri pembayaran mangsa sedari dirinya seakan ditipu.

"Dia juga membuat semakan dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati syarikat yang didakwa beroperasi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu sebenarnya tidak didaftarkan untuk urusan pinjaman wang," katanya.

Beliau berkata, mangsa cuba berhubung dengan lelaki berkenaan namun talian sudah disekat dan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam untuk tindakan lanjut.

"Modus operandi suspek adalah dengan membuat tawaran pinjaman yang tidak wujud sehingga mangsa mendepositkan wang ke dalam akaun suspek untuk tujuan dokumentasi dan guaman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kita masih memburu kesemua suspek yang terbabit," katanya.


Subscribe to receive free email updates: