Update Manifesto PAS, Gagasan Sejahtera tawar rumah murah, RUU 355, diyat >> Berita Malay 18

'Malaysia Sejahtera' merencanakan 20 tawaran termasuk program pemilikan rumah, meningkatkan hukuman maksimum kesalahan syariah dan kaedah pampasan diyat untuk mangsa jenayah.
Hadi bersama pimpinan Gagasan Sejahtera menjawab soalan pemberita di pelancaran manifesto.
CYBERJAYA: PAS bersama blok Gagasan Sejahtera hari ini melancarkan manifesto pilihan raya yang seperti dijangka menyentuh tentang pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan beberapa penyelesaian unik kepada keadaan semasa.
Manifesto menawarkan 20 tawaran utama, termasuk program pemilikan rumah melalui perkongsian kos, liberalisasi lesen import dalam semua sektor kepenggunaan asasi rakyat, memperbanyakkan sekolah integrasi tahfiz dan sains, dan kaedah pampasan diyat untuk mangsa jenayah, di samping penghapusan GST, memperkenalkan semula subsidi petrol dan diesel dan melupuskan hutang pinjaman PTPTN.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan kerajaan Gagasan Sejahtera akan melaksanakan tawaran-tawaran manifesto itu walau sebesar mana jumlah yang perlu ditanggung tanpa membebankan rakyat.
“Walaupun kita tidak ada angka sebenar kita boleh atasi sebab pentadbiran kita tidak boros. Sebagai contoh, kita boleh memerintah Kelantan selama 28 tahun dan dalam keadaan tersekat, peruntukan terhad, kerana tidak ada ketirisan,” katanya.
Hadi berkata butiran lengkap dan terperinci manifesto “Malaysia Sejahtera” itu akan dibukukan dan diedarkan kepada rakyat tidak lama lagi.
Manifesto ini dilancarkan di Dewan Astara di Cyberjaya yang turut dihadiri pimpinan tertinggi PAS, Parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :