Update Menjauhi akal badi Melayu >> Berita Malay 18


   
Seperti yang telah dijelaskan olehku dalam tulisan kolum sebelum ini mengenai akal budi dan badi Melayu, pelajarku bertanya lanjut perihal apakah sebenarnya akal badi Melayu, dan apa pula contoh-contohnya.
Akal badi Melayu adalah perbuatan mengakal atau berhelah dan bertipu muslihat yang mana tidak berperangai baik dan tidak berfikir dengan akal sehingga mendapat ‘kesan buruk’ lantaran melanggar kebenaran dan kemuliaan budi dan akal. Jika akal budi Melayu dengan modus operandi yang dihujahkan sebagai akulturasi, adaptasi, dan akomodasi adalah ikhtiar yang baik demi untuk mencapai kesejahteraan masyarakat, akal badi Melayu pula adalah ikhtiar yang buruk dan merupakan tipu daya. Ini bermakna akal budi Melayu adalah perihal kecerdikan Melayu sementara akal badi Melayu adalah perihal tidak semenggahnya Melayu.
Amalan buruk dan tidak senonoh di bawah akal badi Melayu ini juga amat banyak. Akal badi ini dikenal dalam simpulan bahasa Melayu antara lain sebagai akal bulus, akal kancil atau akal ubi yang semuanya membawa pengertian tipu muslihat yang licin; sementara akal geladak adalah untuk menggambarkan tipu muslihat yang jahat. Terdapat pula peribahasa ‘lubuk akal tepian ilmu’ yang merujuk kepada akal atau muslihat orang yang pandai berpura-pura, atau dibuat-buat. Dalam hal ini, akal badi Melayu adalah juga kepandaian, tetapi ‘kepandaian yang salah’ dan membawa kepada bencana, dan kerosakan terhadap diri, orang lain atau masyarakat terbanyak.Salah satu ‘kepandaian yang salah’ ini adalah sihir-menyihir. Sihir diberi pengertian sebagai ilmu ghaib yang dapat menyakiti atau dapat mempesona orang. Salah satu sihir Melayu yang terkenal adalah ‘jampi pengasih’. Salah seorang Melayu yang pandai mengakal, dalam hal ini ia adalah akal badi Melayu, tidak lain tidak bukan adalah Laksamana Hang Tuah. Dalam Hikayat Hang Tuah dinyatakan bagaimana pembesar Melaka ini memperdayakan anak perempuan pembesar negeri Inderapura, Bendahara Seri Buana iaitu Tun Teja Ratna Menggala dengan sihir minyak pengasih. Tujuan Hang Tuah menyihir Tun Teja ialah agar dapat dipersembahkan kepada Raja Melaka, yang sedang murka kepadanya. Harapan Hang Tuah, persembahan perempuan yang memang diberahikan oleh Raja tersebut akan segera membuatkan dirinya diampunkan:
[Berapa puluh hari maka Laksamana pun fikir dalam hatinya, “Di mana baik aku duduk? Ada pun jika demikian baik aku bersuaka pada Bendahara Seri Buana, kerana Duli Yang Dipertuan dahulu sangat berahi akan anak Bendahara Seri Buana ini yang bernama Tun Teja Ratna Menggala. Maka malah keturunan gila Yang Dipertuan akan Tun Teja ini. Jika demikian baiklah Tun Teja ini kuperdayakan, kubawa ke Melaka, kupersembahkan kebawah Duli Yang Dipertuan supaya aku segera ditegurnya.”]
[Maka Laksamana pun fikir di dalam hatinya, “Ada pun akan aku ini dimurkai oleh Duli Yang Dipertuan Melaka. Jika demikian baiklah aku mencari suatu kebaktian supaya aku boleh kembali ke Melaka karena Duli Yang Dipertuan Melaka dahulunya terlalu amat berahi akan Tun Teja itu malah keturunan gila. Jika demikian baiklah Tun Teja ini kuperdayakan, kubawa pulang ke Melaka, kupersembahkan pada baginda itu supaya aku beroleh kembali ke Melaka.” Setelah sudah ia fikir demikian maka Tun Tuah mencari daya upaya hendak berdapat dengan Tun Teja itu.]
Perbuatan jahat
Sudah tentu perbuatan mengampu dengan memperdayakan seorang perempuan, diculik dan dipersembahkan kepada Raja Melaka itu adalah satu perbuatan jahat bawah akal badi Melayu. Bukan itu saja, sikap Hang Tuah yang menjengkelkan ini awalnya adalah untuk mendapatkan perlindungan atau suaka di bawah bapa Tun Teja telah disalahgunakan iaitu dengan niat terselindung untuk memperdayakan anaknya. Dalam Hikayat Hang Tuah diceritakan bagaimana Bendahara Seri Buana Inderapura sangat berasa cemas oleh kehilangan anak daranya dan menangis ‘seperti buah bemban masak’ matanya.
Perbuatan sihir terhadap Tun Teja tersebut berpanjangan yang mana apabila mereka tiba di Melaka, Hang Tuah membuatkan ‘doa pembenci’ yang ditiupkan ‘ke dalam kurung’ (baju Tun Teja). ‘Kehebatan’ sihir Hang Tuah mengakibatkan Tun Teja serta merta membencikan Hang Tuah, ‘maka Tun Teja pun bencilah hatinya akan Tun Tuah itu. Jangankan melihat rupanya, mendengar suaranya pun Tun Teja benci serta menutupkan telinganya.’
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :