Update Rampasan kapal mewah: Lucu bila menteri BN bela Jho Low >> Berita Malay 18

Rampasan kapal mewah: Lucu bila menteri BN bela Jho Low

Tindakan menteri komunikasi dan multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak membidas pembangkang kerana menguar-uarkan tindakan polis Indonesia menyita  kapal layar mewah milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low dianggap sebagai ‘melucukan’.
Apatah lagi apabila Salleh mendakwa pihak pembangkang menggunakan “dakwaan tidak disahkan dan terbukti” yang kapal layar mewah itu, Equanimity dimiliki Jho Low dan dibeli dengan dana 1MDB.
“Saya rasa amat lucu apabila membaca kenyataan seorang menteri Umno yang juga pimpinan tertinggi parti itu yang mendakwa tiada bukti kapal layar mewah yang disita dan dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia adalah milik Jho Low,”  kata ahli parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin.
“Jika nak bela seseorang pun YB, berpada-padalah. Janganlah sampai jadi bahan lawak YB,” ujarnya sinis.
Hanipa berkata, jikapun dakwaan Salleh itu betul, mengapa Jho Low enggan keluar dari persembunyian dan menafikan secara jelas yang kapal layar mewah berharga US$250 juta dan dibeli dengan wang 1MDB itu bukan milik beliau?
“Kenapa YB (Salleh) pula yang sibuk nak jadi ‘spokeperson’ (jurucakap) Jho Low?” soal Hanipa.
Hanipa sebaliknya menyarankan Salleh agar menasihati Jho Low supaya keluar dari persembunyian dan menafikan kapal layar mewah itu adalah milik beliau seterusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan beliau dengan kapal layar mewah yang didaftar di Pulau Cayman itu.
Malah tambah Hanipa, kenyataan Salleh seolah-olah menganggap pihak yang merampas kapal Equanimity di Bali itu sebagai tidak tahu apa-apa, sedangkan  menurut Pengarah Jenayah Ekonomi dan Jenayah Khas Indonesia, Agung Setya, rampasan itu dibuat setelah mendapat perintah mahkamah negara itu.
“Bila dapat perintah Mahkamah, logiknya ada permohonan telah dibuat terlebih dahulu. Dan logiknya juga telah dikemukakan juga bukti pemilikan kapal itu dengan Jho Low dan kaitan kapal itu dan Jho Low sekali dengan 1MDB dan seterusnya kaitan 1MDB, Jho Low dan kapal itu dengan saman DoJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat).
“Nampak tak YB?  Itulah mekanisme proses perundangan di mahkamah di seluruh dunia YB sebelum seorang hakim itu keluarkan perintah benarkan kapal itu dirampas. Jika kita tak cerdik, jangan ingat orang lain pun tak cerdik juga,” bidas Hanipa.
Sehubungan itu Hanipa menyarankan Salleh agar menasihati kerajaan supaya mencabar dakwaan dalam saman DoJ di mahkamah Amerika Syarikat bagi membatalkan saman itu.
“Bila saman dibatalkan habislah cerita 1MDB di US itu. Itu caranya YB,” kata Hanipa.
Beliau juga menasihati Salleh dan kerajaan BN akan mencontohi model Australia, Miranda Kerr yang pernah berhibur di atas kapal mewah itu dan dihadiahkan barang kemas oleh Jho Low tetapi memulangkan kembali hadiah mewah tersebut apabila mendapat tahu ia dibeli dengan wang 1MDB yang diselewengkan.
“Jika tak mahu buat semua itu YB, lebih baik YB kunci mulut kamu YB.
“Begitu juga (pihak) yang sebelum ini puas hati dengan penerangan 1MDB dalam masa 2 jam pun tak perlu lah nak tumpang sekaki mengomen isu ini,” katanya mengulas sinis pendirian Pas mengenai 1MDB.
1MDB sedang disiasat di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk AS, Switzerland dan Singapura atas dakwaan pengubahan wang.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: