Dalam tempoh 10 tahun pentadbiran kerajaan DAP negeri, orang Melayu dlanda krisis terutamanya golongan muda mula terpinggir dan semakin banyak berlaku penghijrahan Melayu terutamanya ke negeri berdekatan. Ini menyebabkan jumlah Bumiputera negeri menurun setiao tahun.
Polisi kerajaan DAP tidak mesra Bumiputera hingga menyebabkan kerajaan BN Persekutuan terpaksa menubuhkan Jawatankuasa Focus.
Kegagalan kerajaan DAP negeri mentadbir negeri selama 10 tahun sudah cukup untuk rakyat perlu menolak DAP dan sekutunya pada PRU14 ini.
Beberapa perkara di atas didedahkan oleh Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Pengerusi UMNO negeri Pulau Pinang di dalam membincangkan masa depan orang Melayu dan cabaran UMNO menjelang PRU-14.
Baca seterusnya:
Soalan:Sejak Barisan Nasional (BN) gagal memerintah Pulau Pinang pada 2008, di manakah Datuk Seri melihat kedudukan orang Melayu dan adakah dasar kerajaan negeri ketika ini masih membela dan membantu masyarakat Melayu?
Zainal Abidin : Kita memang berasa terkejut pada 2008 apabila BN tumpas selepas berjaya mentadbir Pulau Pinang selama 40 tahun. Sedikit sebanyak kita harus akui terdapat kesilapan dalam mentadbir negeri, namun pada masa dalam tempoh itu BN turut berjaya membawa banyak pembangunan yang impaknya dapat dirasai sehingga kini.
Hakikatnya, dalam tempoh 10 tahun ini kita mula sedar orang Melayu terutamanya golongan muda mula terpinggir apabila semakin banyak berlaku penghijrahan masyarakat itu terutamanya ke negeri berdekatan seperti Kedah dan Perak menyebabkan jumlah Bumiputera Pulau Pinang menurun setiap tahun.
Masyarakat Melayu sebenarnya dilanda krisis apabila generasi keempat dan kelima tidak lagi mampu membeli rumah di negeri ini, selain berlaku banyak penukaran status tanah pertanian milik Bumiputera kepada komersial bagi tujuan perumahan mewah.
Sekiranya masalah ini terus berterusan, jumlah Melayu di Pulau Pinang akan terus menurun, malah polisi kerajaan negeri ini juga dilihat tidak mesra Bumiputera, sehingga kita terpaksa menubuhkan Jawatankuasa Focus
Disebabkan itu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan manifesto BN merangkumi pembinaan 65,000 rumah mampu milik, kita gembira kerana masalah perumahan ini akan mampu diselesaikan dan orang Melayu tidak perlu berpindah ke kawasan lain.
Janji kita, semua projek perumahan ini dapat dimulakan selepas enam bulan jika BN mampu menawan Pulau Pinang, kerana kita sudah memiliki tanah, modal dan senarai nama pembeli berminat mendapatkan rumah yang dijangka dijual antara RM40,000 hingga RM200,000 seunit.
Soalan: Sekiranya mampu menawan Pulau Pinang pada PRU14, apakah langkah yang boleh diambil BN bagi memastikan masa hadapan orang Melayu terjamin dan masalah berkaitan perumahan dapat diselesaikan?
Zainal Abidin: Berdasarkan statistik kita ketika ini, terdapat kira-kira 60 kampung atau penempatan orang Melayu berstatus tanah tumpang, sama ada tapak berkenaan dimiliki pemilik swasta atau berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang boleh diambil pada bila-bila masa.
Mengambil contoh apa yang berlaku kepada penduduk di Kampung Mutiara, Batu Feringghi, kita berjaya membantu penduduk apabila Kerajaan Pusat terpaksa campur tangan bagi mengelak orang ramai yang majoritinya Melayu daripada diusir pemaju.
Tetapi, kita harus sedar terdapat banyak lagi kawasan kampung dan penempatan ini masih tidak menentu masa depannya, dan menjadi hasrat UMNO mencari penyelesaian terbaik atau sekurang-kurangnya membantu menempatkan mereka ke kawasan lebih selesa.
Semua ini tidak dapat dilakukan sekiranya kerajaan negeri dan Pusat berlainan kepemimpinan kerana saya yakin sekiranya BN mampu menang di Pulau Pinang kali ini, lebih banyak bantuan serta peruntukan dapat disalur demi kesejahteraan rakyat.
Soalan: Adakah ini bermakna dalam tempoh 10 tahun ini Kerajaan Pusat melupakan penduduk Pulau Pinang kerana negeri ini ditadbir kerajaan negeri berlainan parti?
Zainal Abidin: Ini tidak tepat sama sekali. Memang ada kata-kata politik yang mahu Kerajaan Pusat mengabaikan Pulau Pinang kerana penduduknya sudah memilih pembangkang pada pilihan raya 2008 dan 2013 lalu.
Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Razak ialah pemimpin berjiwa besar, beliau sendiri tidak mahu ‘menghukum’ seluruh penduduk Pulau Pinang kerana kita juga masih mempunyai ramai penyokong yang sentiasa di belakang beliau.
Disebabkan itu dalam tempoh lima tahun lalu, Pulau Pinang menerima peruntukan kira-kira RM4 bilion, iaitu antara tertinggi antara Perak, Kedah dan Perlis, bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus diutamakan.
Antara keutamaan Kerajaan Pusat ialah dalam aspek kesihatan apabila sejumlah RM1.6 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan 12 projek. Antaranya pembesaran Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya dan Hospital Balik Pulau.
Selain itu, bagi menyelesaikan masalah trafik di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, kita melaksanakan projek naik taraf Jalan Batu Maung, Jalan Teluk Kumbar dan Jalan Bayan Lepas yang secara keseluruhan membabitkan kos RM1.1 bilion.
Bagi memastikan sektor ekonomi dan pelancongan negeri terus berkembang, Kerajaan Pusat juga bakal menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang membabitkan peruntukan RM700 juta merangkumi pembinaan terminal baharu penerbangan antarabangsa dan domestik.
Soalan: Menyentuh PRU-14 akan datang, adakah Datuk Seri ber- keyakinan BN mampu menawan kembali Pulau Pinang?
Zainal Abidin: Ya, kita akan menghadapi PRU-14 pada 9 Mei ini. Ini peluang kepada rakyat Pulau Pinang untuk memilih parti serta kepemimpinan yang dilihat mampu membela nasib mereka dan pada masa sama dapat memastikan kesejahteraan negeri terus dipulihara.
Saya ingin tegaskan, Pulau Pinang sudah dikenali di seluruh negara sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi sebagai ‘Mutiara Timur’. Namun kita sedih apabila berlaku banyak kemusnahan alam sekitar yang berlaku akibat pembangunan tidak terancang ketika ini.
Kerajaan negeri terdahulu yang diterajui BN sudah sedaya upaya memastikan keindahan dan kecantikan ‘Mutiara Timur’ ini dipelihara agar Pulau Pinang terus terkenal sebagai destinasi pelancongan dunia, termasuk berusaha mendapatkan status Tapak Warisan Dunia.
Namun, segala keindahan ini kian terhakis apabila kerajaan negeri sedia ada gagal mengurus negeri dengan baik dan menjadi harapan kepada BN yang benar-benar mahu mentadbir Pulau Pinang dapat menang kembali.
Selain menyelesaikan isu alam sekitar, kita juga melihat kepada masalah kesesakan lalu lintas terutamanya di bahagian pulau, yang jika gagal diselesaikan dalam tempoh jangka panjang akan mengakibatkan pelbagai masalah lain.
Kita dapat lihat sendiri tempoh perjalanan dari Seberang Perai untuk ke Batu Feringghi atau Tanjung Bungah kini menjadi hampir sama dengan perjalanan dari Butterworth ke Alor Setar atau Ipoh akibat kesesakan yang berlaku setiap hari.
Berdasarkan kegagalan kerajaan negeri ketika ini mentadbir Pulau Pinang dengan baik, saya berharap pengundi di negeri ini dapat memberi peluang kepada kita.
Soalan: Faktor orang muda dikatakan bakal menjadi penentu kepada kemenangan PRU-14. Apakah usaha yang sudah di- lakukan UMNO bagi mendekati dan memastikan BN mendapat sokongan pengundi muda ini?
Zainal Abidin: Kita sering mendengar pengundi muda bersama pembangkang. Namun, saya jelaskan di sini sebenarnya pembangkang tidak mempunyai perancangan jelas kepada golongan terbabit, berbanding BN yang memiliki pelbagai program kepada orang muda.
Berdasarkan statistik kita, 40 peratus pengundi Pulau Pinang pada PRU-14 berusia bawah 40 tahun dan semestinya kita perlu menjanjikan mereka sesuatu dan ia dapat dilihat dalam Manifesto BN Pulau Pinang yang dilancarkan, baru-baru ini.
Antara komitmen kita ialah memastikan peluang pekerjaan di Pulau Pinang terus terbuka kepada semua kaum melalui usaha menarik pelaburan luar seperti yang dilakukan agensi Kerajaan Pusat. Dengan ini, semua dapat dilakukan kerana wujudnya kestabilan politik di negara ini.
Sebab itu, saya mahu orang muda sedar apa yang kita lakukan semua ini untuk memastikan masa hadapan mereka terjamin, malah dalam Manifesto BN kita menawarkan pelbagai inisiatif termasuk bagi memudahkan mereka berkahwin dan penghapusan tol di Jambatan Pulau Pinang.
Soalan: Mengulas mengenai calon yang ditampilkan UMNO pada PRU-14, adakah Datuk Seri yakin mereka mampu membawa perubahan dan memastikan nasib rakyat Pulau Pinang terus terbela pada masa hadapan?
Zainal Abidin : Saya sangat berpuas hati dengan 20 calon yang ditampilkan UMNO pada PRU-14. Saya anggap ini gandingan terbaik antara penyandang kerusi dan calon baharu yang masing-masing mempunyai kredibiliti.
Apa yang pasti kita yakin untuk menang di sekurang-kurangnya di tiga kerusi Parlimen, iaitu di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau serta menambah dua lagi kerusi iaitu di Permatang Pauh dan Nibong Tebal.
Di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, kita berhasrat menang di 15 kerusi yang ditandingi dan membantu rakan dari parti komponen lain menang, sekali gus membolehkan BN dapat membentuk kerajaan negeri.
Jentera UMNO sebenarnya sudah bergerak sejak dua tahun lalu lagi. Kita sudah bergerak di semua kawasan ini bagi menemui pengundi dan membantu menyelesaikan masalah penduduk.
Sumber
https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian5831/20180426/281694025388140