Update 'Orang dah panggil saya pengkhianat' >> Berita Malay 18

Markiman Kobiran
Markiman
(Ubah saiz teks)
HULU LANGAT - “Johan telah pun membuat pengumuman, orang lain pun dah panggil saya sebagai pengkhianat!”
Itu luahan Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Markiman Kobiran berhubung dakwaan kononnya beliau akan bertanding sebagai calon Pakatan Harapan mewakili Bersatu.

Markiman berkata, Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz, tidak menghubunginya untuk menjelaskan perkara sebenar sebaliknya membiarkan dakwaan tersebut terus tersebar.

“Dia (Johan) tidak menghubungi saya pun minta pengesahan, saya ini timbalan dia, orang nombor dua, nombor telefon saya pun dia ada, malah dia pun boleh WhatsApp saya, ini panggil pun tidak.. dia terus bantai umum,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, sebelum Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Calon BN Selangor, Johan pernah menghubunginya untuk memaklumkan keputusan pucuk pimpinan telah memilih calon BN untuk PRU14.

“Dia hanya maklumkan saya, siapa calon akan bertanding itu sahaja, saya juga tidak dijemput bersama pada majlis itu di Shah Alam, ini bukan soal saya terpinggir,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini belum ada tawaran daripada mana-mana parti untuk beliau menjadi calon pada PRU14.

“Sehingga kini belum ada tawaran pun, saat ini saya masih lagi ahli Umno dan tidak berhasrat untuk keluar parti.
“Saya akan buat keputusan jika ada tawaran untuk terima atau tolak, tak kan saya nak terima benda yang tidak pasti. Saya juga tidak akan membuat tindakan melulu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan apakah salah tindakannya berjumpa dengan rakan politik dari parti lain.
“Ada seorang menteri buat majlis perkahwinan anaknya, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali turut hadir, salah ke? Masa saya buat majlis perkahwinan anak saya pula Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga turut hadir. Silaturahim putus ke kerana parti dan politik?” soalnya.

Markiman adalah bekas Ahli Parlimen Hulu Langat setelah menang  PRU 2004, namun beliau tewas dalam PRU 2008 ketika bertembung dengan calon Pas, Dr Che Rosli Che Mat.
 

Subscribe to receive free email updates: