Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudahpun menyatakan hasratnya untuk mewartakan kembali Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 10% apabila Dewan Rakyat mula bersidang kelak.
Penetapan kadar tersebut diumumkan sendiri oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, beberapa hari selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diturunkan kadar daripada 6% kepada 0% berkuatkuasas 1 Jun 2018.
Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China, Tan Yew Sing, dipetik Utusan Online bersetuju bahawa pelaksanaan GST sebelum ini menyumbang kepada kenaikan harga barang dan berharap agar pelaksanaan SST nanti akan berjaya mengurangkan harga yang menjadi punca kepada peningkatan kos sara hidup.
“Impak penghapusan GST mungkin mengambil masa sedikit. Tetapi saya akan terkejut sekiranya tindakan itu tidak menurunkan harga beberapa barangan.
“Mungkin ada yang tidak betul berlaku ketika penghapusan GST dilakukan atau peniaga sendiri tidak memberikan respons (turunkan harga),” itu komen Yew Sing optimis harga barang akan turun pasca SST akan datang.
Namun, bagi pemain industri automotif, seperti Edaran Tan Chong Motor, pelaksanaan GST terbukti menurunkan harga kereta dan pengembalian SST pada kadar 10% seperti pra-GST sebelum ini pasti akan meningkatkan harga kenderaan.
Walauapapun, masih terlalu awal untuk memberi gambaran situasi pasaran selepas SST dilaksanakan kelak, namun, berdasarkan contoh yang diberikan, kemungkinan penurunan harga barang sekadar imaginasi sahaja.
Realitinya adalah, pendapatan negara akan berkurangan sekiranya GST dimansuhkan, sepertimana dihuraikan oleh Bloomberg.
Menurut laporan kolumnis Andy Mukhrejee, GST terbukti memberi pendapatan tambahan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sejak mula diperkenalkan pada 1 April 2015, dengan kutipan kira-kira US$11 bilion (RM43.8 bilion) untuk tahun lepas sahaja.