Update [Video Saya Akan Terus Bongkar Jenayah Rompakan 1MDB Najib Umno] 1MDB IBU SEGALA SIASATAN & Penyelewengan di bawah Najib yang musnahkan Institusi Melayu. >> Berita Malay 18

Rabu, 2 Mei 2018

Foto Rafizi Ramli.
1MDB IBU SEGALA SIASATAN

Semalam, 1MDB menafikan sekeras-kerasnya yang ia sedang menjadi tumpuan siasatan antarabangsa atas tuduhan penyelewengan dana awam, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Saya petik beberapa penafian yang dibuat 1MDB seperti laporan Bernama itu:

“Tidak ada cadangan salah laku oleh 1MDB atau mana-mana pegawainya. Oleh itu, adalah tidak bertanggungjawab dan merupakan perbuatan keji bagi mana-mana pihak untuk menganggap bahawa dakwaan siasatan yang dijalankan oleh pendakwa Switzerland itu diputar-belit dan dikatakan sebagai siasatan ke atas 1MDB dan pemegang sahamnya.”

“1MDB meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan sebarang dakwaan mengenai siasatan yang disyaki oleh pihak berkuasa Switzerland ke atas rakyat bukan warganegara Malaysia itu, dan, semasa tempoh pilihan raya umum yang sensitif ini, tidak mengaitkan 1MDB untuk keuntungan politik.”

Arulkanda sebagai pegawai 1MDB yang gajinya dibayar oleh rakyat sepatutnya tidak terlibat di dalam kempen pilihanraya.

Sebab itu, kenyataan beliau yang cepat-cepat mahu menuding jari dengan menuduh kononnya siasatan antarabangsa (termasuk yang terkini di Switzerland ke atas urusniaga PetroSaudi dan 1MDB) diputar belit demi keuntungan politik, mendedahkan bahawa dia-lah yang sebenarnya menjadi alat Barisan Nasional untuk berkempen sepanjang pilihanraya umum ini.

Penafian beliau itu menunjukkan sifat “double standard” (atau talam dua muka) beliau berhubung skandal 1MDB. Jika Pakatan Harapan membangkitkan isu 1MDB, Arulkanda akan menuduhkan Pakatan Harapan mempolitikkan 1MDB sedangkan dia jugalah yang sedang keliling Malaysia (atas wang rakyat) untuk mengelirukan rakyat mengenai kedudukan sebenar 1MDB.

Malah, penafian 1MDB semalam bukan sahaja mendedahkan sifat talam dua muka itu, penafian itu juga adalah tidak tepat.

Arulkanda semalam kononnya “menegaskan bahawa dana itu (1MDB) tidak tertakluk kepada sebarang penyiasatan jenayah sama ada di Malaysia atau di peringkat antarabangsa.”

Arulkanda cuba membayangkan kononnya 1MDB tidak disiasat dan kertas siasatan di sekurang-kurangnya enam negara (seperti yang dirujuk laporan-laporan antarabangsa iaitu Bloomberghttps://www.bloomberg.com/news/articles/2018-05-01/swiss-1mdb-case-widens-with-criminal-probe-into-petrosaudi-pair dan Reutershttps://www.reuters.com/article/us-malaysia-scandal-1mdb-swiss/swiss-investigate-two-petrosaudi-officials-in-1mdb-inquiry-idUSKBN1I234Y) tidak ada kena-mengena dengan 1MDB.

Seluruh dunia mengetahui bahawa siasatan-siasatan tersebut merujuk kepada dana yang dipindahkan dari 1MDB ke syarikat-syarikat yang tidak ada kena-mengena dengan pelaburan awam seperti mandat 1MDB.

Oleh itu, sudah tentu siasatan-siasatan antarabangsa itu tertumpu kepada syarikat-syarikat yang menerima dana dari 1MDB kerana aliran tunai (“money trail”) dari 1MDB kepada syarikat-syarikat ini dan dari syarikat-syarikat ini kepada penerima yang seterusnya, adalah bahan bukti utama untuk menunjukkan dana 1MDB sudah diselewengkan.

Sebab itu, siasatan terkini di Switzerland adalah ke atas pegawai-pegawai dari PetroSaudi iaitu syarikat rakan kongsi 1MDB yang pertama, kerana mereka dituduh menjadi sebahagian dari komplot untuk menyelewengkan dana 1MDB kepada pihak tertentu melalui syarikat tersebut.

Walaupun 1MDB belum disiasat secara langsung di peringkat antarabangsa, hakikat bahawa ada banyak syarikat-syarikat (yang menjadi laluan pemindahan wang dari 1MDB kepada Jho Low dan MO1) yang disiasat, membuktikan bahawa dana 1MDB telah pun diselewengkan.

Bermula dari dana 1MDB yang hilanglah, semua syarikat “orang tengah” yang digunakan untuk menjadi laluan pemindahan wang kepada Jho Low dan MO1 disiasat. Sebab itu, saya percaya 1MDB sebenarnya adalah ibu kepada segala siasatan yang sedang berlaku sekarang di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, saya meminta Arulkanda menumpukan perhatian kepada tugasnya di 1MDB agar syarikat naungan Dato’ Seri Najib itu tidak terus memindahkan hutangnya kepada rakyat.

Melihatkan kesungguhan Arulkanda mahu menjadi penceramah yang berkempen secara langsung di dalam pilihanraya ini walaupun dia sebenarnya kakitangan badan milik kerajaan, saya juga ingin mengajak Arulkanda untuk berdebat dengan saya di dalam satu ceramah umum di hadapan orang ramai. Itu adalah lebih adil kepada rakyat agar lebih ramai dapat menghakimi terus kedudukan sebenar kewangan 1MDB dan membantu pengundi membuat keputusan dalam PRU14 ini.

RAFIZI RAMLI

NAIB PRESIDEN KEADILAN

Foto Rafizi Ramli.
SHAHRIR SAMAD:

PENYELEWENGAN DI BAWAH NAJIB YANG MUSNAHKAN INSTITUSI MELAYU

Saya kecewa apabila seorang yang terpelajar seperti Tan Sri Shahrir Samad menggunakan hujah perkauman dalam kempen PRU14 ini.

Semalam, beliau dipetik menyatakan bahawa “tsunami Melayu” yang dikaitkan dengan gelombang rakyat yang menyokong Pakatan Harapan adalah bertujuan untuk memusnahkan institusi-institusi Melayu.

Saya suka mengingatkan Tan Sri Shahrir Samad bahawa kemarahan orang Melayu kepada Umno di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak banyak berpunca dari penyelewengan demi penyelewengan yang berlaku di dalam institusi-institusi Melayu seperti Felda, Tabung Haji, LTAT dan MARA.

Malah, sekiranya kami dari Pakatan Harapan tidak memainkan peranan menyemak prestasi institusi-institusi ini, ada kemungkinan besar kedudukan kewangan institusi-institusi ini akan lebih parah daripada sekarang yang akan turut mengheret seluruh rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung hutang-hutang yang diambil.

Tan Sri Shahrir sepatutnya tidak membuka mulut mengenai isu ini kerana masalah kewangan dan kepincangan tadbir urus di Felda masih tidak pulih walaupun beliau telah memegang jawatan Pengerusi Felda sejak Januari 2017 lalu.

Beliau tidak boleh menafikan kerosakan yang telah berlaku di dalam Felda kerana angka-angka kedudukan kewangan Felda adalah sangat menyedihkan, seperti berikut:

Simpanan Tunai Felda

Simpanan tunai Felda dalam tahun 2011 dan 2012 adalah seperti berikut (dipetik dari Penyata Kewangan Kumpulan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 2012):

Jumlah dana tunai kumpulan Felda di akhir tahun 2011 (dalam bentuk deposit tetap dan wang di tangan dan bank) ialah RM3.9 bilion.

Setakat tahun kewangan berakhir 2016 iaitu laporan kewangan diaudit yang terkini yang dibentangkan di Parlimen, jumlah dana tunai kumpulan Felda telah susut merudum kepada RM434 juta sahaja, seperti berikut:

Pinjaman Kumpulan Felda

Pinjaman Kumpulan Felda dalam tahun 2011 dan 2012 adalah seperti berikut (dipetik dari Penyata Kewangan Kumpulan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 2012):

Pada tahun 2011, pinjaman Kumpulan Felda dari institusi luar (bank, bon hutang dan lain-lain) hanyalah RM4.2 bilion.

Malangnya, pentadbiran Dato’ Seri Najib terus berhutang dengan menggunakan Felda sehingga jumlah hutang dari institusi luar (tanggungan semasa dan jangka panjang) telah mencecah RM9.08 bilion menjelang akhir tahun kewangan 2016:

Pentadbiran Dato’ Seri Najib juga mengesahkan bahawa ia telah mengambil lagi hutang bernilai RM4.6 bilion melalui sebuah syarikat khas bernama GovCo Holdings Berhad yang sebahagian besarnya digunakan untuk membiayai pembelian saham-saham syarikat perladangan milik kenalan Dato’ Seri Najib iaitu EHP di Indonesia.

Jawapan parlimen berkenaan perkara ini menunjukkan Felda membayar RM2.5 bilion untuk pembelian saham-saham tersebut, melalui pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Govco Holdings Berhad.

Ini bermakna, jumlah hutang terkumpul Kumpulan Felda sudah mencecah RM11.5 bilion (iaitu RM9 bilion setakat 2016 dan ditambah RM2.5 bilion dari pembelian EHP) setakat akhir tahun 2017, berbanding hanya RM4.2 bilion sahaja dalam tahun 2011 lalu.

Sebab itu Tan Sri Shahrir menuding jari kepada Pakatan Harapan kononnya ingin memusnahkan institusi Melayu seperti Felda, beliau perlu menjawab terlebih dahulu soalan ini: ke mana perginya wang-wang Felda yang dibelanjakan selama ini?

Rekod kewangan Felda sendiri menunjukkan jumlah wang yang telah dibelanjakan dari tahun 2011 hingga 2017 ialah sekitar RM14 bilion (iaitu perubahan baki tunai dari RM3.9 bilion kepada RM434 juta, dan peningkatan hutang sebanyak RM7.3 bilion dari hanya RM4.2 bilion kepada RM11.5 bilion)?

Jumlah RM7.3 bilion yang telah dibelanjakan oleh Kumpulan Felda dalam tempoh 6 tahun ini jika diagihkan kepada setiap keluarga peneroka Felda boleh diterjemahkan kepada bonus RM73,000 setiap satu keluarga, atau 1 buah rumah mampu milik berharga RM73,000 setiap satu bagi setiap keluarga peneroka Felda.

Saya percaya angka-angka ini tidak berbohong dan secara jelas menunjukkan kemerosotan institusi Melayu seperti Felda adalah berpunca dari budaya rasuah dan mencuri wang rakyat yang parah dalam Umno.

RAFIZI RAMLI

NAIB PRESIDEN KEADILAN
 

Subscribe to receive free email updates: