Update Apa Indonesia belajar daripada Malaysia? >> Berita Malay 18

Sinar Harian
Apa Indonesia belajar daripada Malaysia?
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail (dua, kiri) mengadakan perjumpaan bersama Menteri Hukum dan Hal Asasi Manusia Indonesia Yasonna Hamonangan (dua, kanan) hari ini. Foto: Bernama
 
(Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA - Indonesia berminat untuk belajar daripada Malaysia, khususnya mengenai sistem pendaftaran syarikat dan perniagaan yang dilaksanakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di republik itu.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia Dr Yasonna H Laoly selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail, di sini hari ini.

Laoly berkata kementeriannya yang mengendalikan hal ehwal pendaftaran syarikat dan perniagaan di Indonesia memikul tanggungjawab untuk menarik pelabur dan melancarkan proses menjalankan perniagaan.

Menurutnya Presiden Indonesia Joko Widodo telah mengarahkan agar proses pendaftaran perniagaan dan syarikat di republik itu dipercepat sekali gus meningkatkan kedudukannya dari 71 kepada 41 dalam  Laporan Menjalankan Perniagaan (DB) Bank Dunia 2018 .

“Di Indonesia, sistem pendaftaran syarikat dan perniagaan terbatas dan memakan masa beberapa bulan... sehubungan itu, dalam rangka kerja ke Malaysia, kami ingin belajar daripada pengalaman Malaysia khususnya sistem pendaftaran yang akan mengurangkan kos, masa  dan proses menjalankan perniagaan,” katanya.

Laporan DB Bank Dunia 2018 meletakkan Malaysia di kedudukan ke-24 secara keseluruhan daripada 190 ekonomi dunia,
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata Malaysia berminat untuk mempelajari sistem ‘Online Single Submission (OSS), iaitu sistem pelesenan perniagaan yang dilancarkan Indonesia baru-baru ini.

“Kita boleh belajar daripada pengalaman Indonesia untuk menguruskan jumlah syarikat yang banyak. Malaysia dan Indonesia boleh saling belajar untuk mewujudkan satu suasana dan persekitaran yang kondusif untuk terus menarik pelabur-pelabur asing,” katanya.
Pada masa ini terdapat 1.2 juta syarikat dan perniagaan yang berdaftar dengan SSM.

Hadir sama pada pertemuan itu ialah Timbalan Menteri berkenaan Chong Chieng Jen, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Jamil Salleh dan Ketua Pengarah Eksekutif SSM  Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner. -Bernama

Subscribe to receive free email updates: