Update "Rumah Degil" milik keturunan Sultan Puasa dipulih hara >> Berita Malay 18


PEMBINAAN SEMULA ‘RUMAH DEGIL’ DI BSN DIJANGKA SIAP NOVEMBER INI

KUALA LUMPUR, 26 Sept : Rumah Pusaka Chow Kit (RPCK) atau lebih dikenali sebagai Rumah Degil yang sedang dibina semula di tapak baharu iaitu di perkarangan Balai Seni Negara (BSN), Jalan Tun Abdul Razak dijangka siap sepenuhnya pada November ini.

Pembinaan dan pembangunan semula rumah Melayu No 41, Jalan Chow Kit, yang mempunyai kaitan dengan Sutan Puasa pengasas Kuala Lumpur, telah bermula sejak 16 Feb lepas oleh Jabatan Warisan Negara.

Berdasarkan maklumat yang terpapar di kawasan pembinaan, pakar bina rumah kayu, Seroja Klasik Enterprise telah dilantik sebagai kontraktor dan ia dibangunkan dengan kerjasama BSN, Yayasan Hasanah, Persatuan Arkitek Malaysia, Kumpulan Pemuliharan Rumah Pusaka Chow Kit dan ATSA Architects.

Akhirnya usaha kumpulan pemuliharan RPCK, yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kepakaran, termasuk arkitek dan pakar sejarah, sejak tiga tahun lepas menjadi kenyataan.

Rumah bercirikan tradisional Melayu yang siap dibina pada 1926 di Jalan Chow Kit ini adalah rumah yang dibina oleh Jaafar Sutan Sinomba (juga dikenali dengan nama Sutan Mengatas Sutan Sinomba) yang merupakan keturunan Sutan Puasa, saudagar dari Mandailing, Sumatera dan kawasan tersebut merupakan kawasan penempatan mereka.

Sederet dengan rumah No 41, sebelum ini terdapat dua lagi rumah anak-anak Jaffar, iaitu rumah Abdul Talib dan Abdul Wahid. Rumah Abdul Wahid di 38, Jalan Chow Kit telah dibangunkan sebagai sebuah bangunan komersial bernama Wisma Wahida oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) pada awal tahun 1970-an.

Ketua Pegawai Eksekutif ATSA Architects, Azim Tan Sri A Aziz yang ditemui Bernama semasa mengadakan lawatan ke tapak rumah itu berkata seni bina RPCK ini banyak dipengaruhi oleh reka bentuk rumah Melayu Perak.

Menyentuh mengenai pembinaan semula rumah itu, katanya, 70 peratus daripada rumah itu kini sudah siap dibina semula.

“Hampir 90 peratus komponen kayu rumah yang dibina semula ini adalah daripada binaan asal rumah tersebut. Kami ada membuat sedikit penambahbaikan untuk mengukuhkan rumah ini agar ia lebih selamat kerana usianya yang agak lama,” katanya yang pernah terlibat memulihara Masjid Kampung Teluk Memali yang berusia 108 tahun di Perak.

Rumah berusia 92 tahun itu yang telah menyaksikan pelbagai perubahan di negara ini dari zaman penjajahan British, zaman penjajahan Jepun, kemerdekaan negara hingga ke 13 Mei 1969, terpaksa dijual pada tahun 2013 kerana keluarga Jaafar tidak lagi mampu menampung kos penjagaan rumah tersebut.

Projek pemuliharaan RPCK dimulakan oleh dua orang sepupu anak kelahiran Jalan Chow Kit, iaitu arkitek Tan Kay Chay dari KC Tan Architects dan James Chong.

Tan yang diminta oleh seorang kontraktor pada 2014 untuk melihat bagaimana untuk membangunkan semula kawasan rumah tersebut amat terkejut apabila mendapati rumah warisan yang sering dilihatnya sejak kecil hendak dirobohkan.

Beliau telah mendapat bantuan James untuk menjejaki sejarah dan keluarga Melayu yang pernah memiliki rumah itu dan menemukan mereka dengan Fatulrahman Ghazali, pengarah kreatif dan juruvideo Obscura Films.

Fatulrahman telah memenangi kategori video pendek di Pesta Filem Mahasiswa Malaysia 2007 mengenai rumah itu yang dinamakannya ‘Rumah Degil’ yang menceritakan mengenai tuan rumah yang enggan menjual rumah tradisinya yang tersepit oleh bangunan moden di kota raya walaupun ditawarkan jutaan ringgit.

Dokumentari ini adalah antara finalis untuk kategori dokumentari Pesta Filem Malaysia 2007 dan Pesta Filem Asia Pasifik 2008.

Tan dan James kemudian bertemu dengan Abdur-Razzaq Lubis, penulis buku ‘Sutan Puasa, the Founder of Kuala Lumpur’ yang berjaya menemukan mereka dengan Normah Majawali, 86, penghuni terakhir rumah tersebut iaitu cucu Jafaar. Norma dilahirkan di rumah itu pada tahun 1932, dan beliau berkahwin dengan sepupunya Salleh Abdul Wahid.

Usaha mereka ini telah mewujudkan sebuah kumpulan sukarelawan yang bertujuan memulihara legasi terakhir Sutan Puasa di Kuala Lumpur, malah Tan dan James juga telah memastikan rumah itu dibuka dan disimpan dengan rapi, serta menandakan setiap kayu yang digunakan dalam rumah itu bagi memudahkan ia dipasang semula.

Bagi Fatulrahman, penglibatannya dalam proses memulihara rumah kayu dua tingkat, berukuran 4.57 meter lebar dan 15.24 meter panjang itu merupakan satu pengalaman indah melibatkan kerjasama pelbagai bangsa.

“Saya bekerja dengan mereka (Tan dan James) termasuk kontraktor asing yang tidak tahu berbahasa Melayu, namun bagi saya usaha itu sesuatu yang sangat unik dan menarik untuk dikongsikan,” katanya.

Fatulrahman berkata mereka telah mengambil inisiatif membuka komponen rumah tersebut bagi tujuan penyelamatan secara berfasa dari bulan Mac sehingga Mei 2015 mengikut prosedur standard konservasi.

Keseluruhan komponen kayu itu dibuka dan disimpan di sebuah rumah teres dua tingkat di Damansara, katanya.

Bagi anak Normah, Nora Salleh, penglibatan pelbagai pihak dan individu dalam menyelamatkan rumah pusaka keluarganya amat dihargai.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Warisan Negara dan arkitek-arkitek yang terlibat kerana telah mengiktiraf Rumah Pusaka Chow Kit ini sebagai mempunyai kesan-kesan sejarah yang boleh disimpan untuk masa depan,” katanya kepada Bernama.

Sumber: Frontdesk

Subscribe to receive free email updates: