Update ABDUL RASHID PERLU LEPAS JAWATAN >> Berita Malay 18



ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN



Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman perlu melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana mengeluarkan cadangan yang menjejaskan reputasi dan maruah parti.

Presiden Persatuan Gerakan Demokrasi Profesional (Prodem), Md. Shukri Shuib berkata, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu perlu berlapang dada untuk berbuat demikian akibat impak negatif yang diterima Bersatu ekoran daripada cadangannya Ahad lalu.

“Jawatankuasa disiplin Bersatu kena ambil tindakan tegas terhadap Abdul Rashid dan beliau juga kena mengundurkan diri kerana telah mencemarkan imej parti.

“Beliau perlu berlapang dada dan memberi peluang kepada orang lain untuk mengisi jawatan tersebut demi keutuhan Bersatu dan pemimpin-pemimpin lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahad lalu, Abdul Rashid dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu telah mencadangkan ketua bahagian dan ketua cawangan mesti memperoleh lebih wang menerusi pemberian projek kerajaan.

Jelas Md. Shukri yang juga bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti di utara tanah air, cadangan Abdul Rashid itu tidak mencerminkan langsung keperibadian yang sepatutnya dimiliki oleh seorang Naib Presiden.

“Kena ubah sikap, baharu tujuh bulan jadi kerajaan sudah pandai mengajar orang lain untuk menggunakan pengaruh,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: