Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil langkah inisiatif dengan menanam semula di kawasan bekas kebun sayur yang diteroka secara haram dengan pokok jenis Gerok dan spesies lain secara berperingkat tidak lama lagi.
Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, Pengarah JPNP, berkata penanaman semula sebanyak 3,500 anak pokok jenis Gerok dan juga beberapa spesis lain yang bersesuaian dengan tanah yang berkeluasan 120 hektar ini akan bermula selepas selesai proses pembersihan kawasan berkenaan yang akan dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa yang berkaitan.
“Operasi di kawasan kebun sayur haram itu sudah dilaksanakan baru-baru ini selepas 61 pekebun sayur dan bunga di kawasan Sungai Icat diberikan notis oleh kerajaan negeri untuk mengosongkan kawasan terbabit.
“Sebelum itu, operasi sama sudah dilakukan membabitkan kebun milik 11 individu dan kerja penguatkuasaan ini dijalankan secara berterusan sehingga semua kebun haram dikosongkan oleh pemilik,” katanya di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, pada peringkat pertama penanaman semula pokok itu akan melibatkan keluasan tanah sebanyak 0.5 hektar yang kawasan tersebut telah dilawati oleh Ketua Penolong Pengarah Pembangunan JPNP, Norzalyta Mohd Ghazali serta pegawai-pegawai dari UPM minggu lalu.