Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata kelancaran Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Raub yang dirasmikan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ahad lalu memperlihatkan komitmen dan kesungguhan ahli-ahli UMNO akar umbi untuk sama-sama bangkit dalam usaha meneruskan perjuangan parti.
Malah, menurut beliau, persidangan tersebut juga berlangsung dalam aura kebangkitan yang luar biasa bila mana Dr Asyraf Wajdi berjaya menaikkan semangat dan kesedaran para perwakilan dengan hujah serta fakta yang bernas dan meyakinkan.
Katanya lagi, rata-rata ahli Wanita, Pemuda dan Puteri yang hadir memahami cabaran serta rintangan yang perlu ditempuhi pejuang parti hari ini dalam usaha mempertahan orang Melayu, Agama Islam dan Raja-Raja Melayu, tanpa sesekali mengenepikan bangsa lain.
“Saya kagum dengan komitmen ahli-ahli Pemuda UMNO dari setiap Cawangan. Hampir 80 peratus perwakilan Pemuda dari Cawangan-cawangan hadir untuk bermesyuarat serta mendengar penerangan Dr Asyraf Wajdi,” katanya kepada UMNO-Online.
Menurut Fadzli, kebanyakan anak muda telah mula sedar dan mengenali siapa sebenarnya Kerajaan Pakatan Harapan hari ini yang hanya pandai berjanji tetapi gagal menunaikannya malah anak muda tidak sanggup tertipu lagi.
Katanya, akar umbi di Raub akan bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan anak muda kepada parti keramat Melayu ini iaitu UMNO.
“Syukur alhamdulillah kerana di Pahang ini kami dipimpin oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang juga Menteri Besar yang amat memahami kehendak serta keperluan anak muda. Justeru, beliau sentiasa membantu dan memberi bimbingan kepada kami dalam melakukan gerak kerja parti,” katanya.
Pada masa yang sama, Fadzli yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang turut menyarankan agar ahli Pemuda dapat menggunakan sebaik mungkin platform persidangan di peringkat Bahagian.
“Ini kerana ia adalah salah satu medium yang kita boleh lontarkan idea dan kongsi pandangan secara bersama dalam usaha mencari kekuatan untuk sama-sama bangkit dalam membela dan menjaga kepentingan serta kebajikan rakyat, insya-Allah,” tambahnya lagi.
Dalam ucapan perasmiannya Ahad lalu, Dr Asyraf Wajdi telah mengingatkan semua ahli UMNO untu merapatkan saf dan tidak hanya terus menuding jari kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebaliknya patut muhasabah diri kerana kita jatuh sebahagiannya atas kesilapan kita.