Update Elaun Ditarik: Terengganu belum cadang bantu penuntut perguruan >> Berita Malay 18


Kerajaan negeri Terengganu belum bercadang membantu penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) negeri itu berhubung penarikan elaun bagi pelajar baharu ambilan Jun 2018 yang menyambung pengajian ke peringkat Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP).
IPG 2Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata setakat ini belum ada perbincangan oleh kerajaan negeri dan menyerahkan isu tersebut kepada Kementerian Pendidikan untuk diselesaikan.
"Isu ini belum sampai kepada kerajaan negeri dan kita belum ambil apa-apa tindakan lagi terutama bagi penuntut yang merupakan anak Terengganu. Isu seperti tidak cukup pembiayaan, peningkatan kos sara hidup bukan sahaja berlaku di IPG tetapi ia turut dirasai oleh pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara.
Mereka ini ditanggung pembiayaan oleh kementerian cuma tidak diberikan elaun berbanding pelajar-pelajar IPTA dan IPTS yang lain.
Kebanyakan mereka membuat pinjaman pendidikan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan lain-lain agensi untuk meneruskan pengajian. Jadi kalau kita kira, perkara tersebut sudah agak istimewa berbanding pelajar institusi lain yang belajar sebab IPG kini sudah bertaraf pusat pengajian tinggi," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu 2017 di Kuala Terengganu hari ini.
Turut hadir Pengarah Yayasan Terengganu Ishamudin Hashim.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata pelajar yang menyertai PPISMP di IPG bagi ambilan Jun 2017, akan terus menerima elaun sara hidup seperti yang diselaraskan mulai 1 Januari lalu iaitu RM430 sebulan dan belanja tambang pergi balik pada kadar maksimum RM500 sekali setahun sehingga tamat pengajian.
Walaupun tiada elaun diberi bagi pelajar PPISMP ambilan Jun 2018, yuran pengajian berjumlah RM27,831 ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :