Update KEHEBATAN PEMBUKAAN KL2017 DAPAT PUJIAN >> Berita Malay 18


Kehebatan pembukaan KL2017 dapat pujian


Malaysia menghidangkan upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang hebat dan memukau penonton yang memenuhi Stadium Nasional, Buklt Jalil dan juga golongan netizen.

Sukan serantau dwitahunan idari 19 hingga 20 Ogos itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam acara yang dilimpahi sinar cahaya dan warna dengan penyalaan kawah obor temasya yang dramatik serta pertunjukan bunga api mewarnai langit di atas stadium yang boleh memuatkan 90,000 penonton itu.

“Tahniah Malaysia dengan upacara pembukaan Sukan SEA 2017 yang hebat, Malaysia Boleh,” kata Pesuruhjaya Tinggi British, Vicki Treadell dalam catatan Twitternya mengenai pertunjukan selama dua jam itu yang berjalan lancar.

Akhbar Thailand, The Bangkok Post melaporkan upacara itu sebagai begitu mempersonakan dan mengagumkan penonton di dalam dan luar stadium dengan tema yang memberi penghormatan kepada bekas wira dan lagenda sukan di samping meraikan bintang di masa hadapan.

Pembukaan temasya sukan itu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menghidangkan persembahan mempersona mengenai kepelbagaian budaya di Malaysia menerusi aksi secara langsung di padang yang dihiasi dengan cahaya dan bunyi yang memukau penonton.

Ada yang tidak dapat menyembunyikan perasaan bangga mereka selepas menyaksikan persembahan hebat itu, dan menyampaikan mesej berbentuk tahniah kepada mereka yang memainkan peranan dalam menjayakan persembahan itu.

“Air mata kegembiraan dan saya amat bangga dengan negara yang dicintai Malaysia kerana menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017, sememangnya upacara pembukaan bertaraf dunia, “ kata Nisa Batrisya dalam akaun Twitternya @NisaAjax.

“Sempurna, menakjubkan, hebat, kamu namakan apa saja, #KL2017 #SEAGames2017 adalah satu acara yang ‘wau’, kata Shahfizam Wahid dalam catatan Twitternya di @shahfizan..

Mesej lain juga ditujukan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, lebih dikenali sebagai KJ yang menyampaikan ucapan bersemangat dan mengajak rakyat Malaysia supaya menyokong atlet negara dengan sepenuh hati.

“Wahai @KhairyKJ. Tahniah di atas pembukaan hebat Sukan SEA 2017! Saya tidak mampu mengucapkan bagaimana bangganya saya sebagai seorang rakyat Malaysia,” kata Syakira Hafifah dalam catatan di akaun Twitternya @ hafifaharikays.

Malaysia menyasarkan 111 pingat emas untuk muncul johan keseluruhan temasya sukan yang kali terakhir ia menjadi tuan rumah pada 2001.

Sebanyak 404 pingat emas daripada 38 jenis sukan ditawarkan, termasuk sukan yang baharu diperkenalkan seperti hoki ais, luncur ais, hoki dalam dewan dan kriket.


Subscribe to receive free email updates: