Update ‘Berapa kos dibayar Geely untuk beli 49.9% saham Proton’ >> Berita Malay 18

Teo Kok Seong berkata, walaupun Proton merupakan entiti swasta, kerajaan memberi bantuan kewangan sebanyak RM13.9 bilion kepada syarikat pengeluar kereta nasional itu sejak penubuhannya pada 1985.
proton_geely_600KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen DAP hari ini meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mendedahkan kos yang dibayar Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) untuk membeli 49.9% saham Proton Holdings Bhd.
Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong berkata, walaupun Proton merupakan entiti swasta, kerajaan memberi bantuan kewangan sebanyak RM13.9 bilion kepada syarikat pengeluar kereta nasional itu sejak penubuhannya pada 1985.
“Selepas Proton jual pegangan saham kepada Geely, mereka perlu beritahu jumlah tersebut.
“Saya minta Miti beri jawapan kerana RM13.9 bilion merupakan duit rakyat. Kita jual pegangan saham, tapi tidak tahu berapa banyak duit yang kita terima dari China,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.
Teo berkata, pertanyaannya sebelum ini tidak dijawab Miti.
Kementerian itu melalui jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat hanya memaklumkan melalui pengambilalihan itu, Proton akan mendapat suntikan dana sebanyak RM170.3 juta daripada Geely dan pengeluaran kereta model Boyue bernilai RM290 juta sebagai SUV pertama Proton.
Miti berkata, kerajaan juga tidak campur tangan dalam urusan pelantikan warganegara China, Li Chunrong sebagai ketua pegawai eksekutif Proton berkuat kuasa 1 Oktober lalu.
“Ia adalah keputusan perniagaan Proton sendiri dan kerajaan tidak campur dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat swasta.
“Di samping itu, pelantikan warganegara asing sebagai CEO syarikat swasta bukanlah perkara asing memandangkan dunia perniagaan semakin bersifat global,” kata Miti.
Pada 24 Mei lalu, DRB-Hicom mengumumkan penjualan 49.9% sahamnya dalam Proton kepada Geely, gergasi automotif China yang sebelum ini mengambil alih Volvo dari Sweden.
Urus niaga itu juga membolehkan Geely memiliki kepentingan 51% dalam pembuat kereta Britain, Lotus daripada Proton pada harga £51 juta (RM277.85 juta), manakala baki 49% lagi menjadi milik Etika Automotive Sdn Bhd.
Proton yang ditubuhkan pada 1983, bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun mendapat sokongan dan bantuan kerajaan.
Pada 2001, ia menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%, tetapi merosot kepada 14% tahun lalu, di sebalik populariti kereta import dan aduan mengenai mutu kereta.

Subscribe to receive free email updates: