(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan cara laporan kewangan Felda 2015 dan 2016 dibentangkan serta diguna pakai.
Katanya, ini kerana skandal kehilangan tanah Felda di Jalan Semarak dikatakan bermula 2014 tetapi disedari Felda pada Januari 2017 seperti dinyatakan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
“Adakah laporan kewangan tahun tersebut masih lagi mengandungi laporan milikan aset tanah dan bangunan Felda Jalan Semarak yang sudah pun kehilangan pemilikan daripada Felda selepas dijual kepada pemaju projek KLVC sejak 2014 lagi?
“Ini bermakna laporan itu tidak diaudit secara telus sehingga menyembunyikan kehilangan aset dan RM270 juta bagi kawasan berkeluasan 6.57 hektar di Jalan Semarak secara tipu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Shahrir mengambil hampir setahun untuk membuat laporan polis.
“Laporan polis dibuat 12 Disember lalu dengan menamakan syarikat yang memegang surat kuasa wakil penuh ke atas tanah berkenaan.
"Tapi nama bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tidak disebut dan apa sebenarnya yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan umum?," katanya.
Katanya, Shahrir dalam kenyataan berkata, kerajaan dan Felda cuba berusaha dalam tempoh tersebut untuk mengembalikan tanah itu dengan melakukan kaveat di pejabat tanah Wilayah Persekutuan.
"Kenyataan beliau seolah-olah membayangkan kalau dapat semula tanah tersebut maka akan ditutup penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam penjualan tanah Felda tanpa bayaran sesen kepada Felda,” dakwanya