Update Perwakilan Umno perlu ‘jantankan’ Najib >> Berita Malay 18

Perhimpunan Agung Umno (Pau) yang berlangsung pada masa ini memerlukan proses usul tergempar daripada perwakilan untuk ‘menjantankan’ Presiden parti itu yang juga Perdana Menteri Malaysia, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Menurutnya, Najib Razak perlu memberi maklum balas berhubung kenyataan Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Jeff Sessions yang menyifatkan skandal kecurian 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah kleptokrasi paling teruk.
“Sangat memalukan negara Malaysia dan kepimpinan PM Najib Razak dengan dakwaan pegawai 1MDB menyeleweng dana lebih AS$4.5 bilion (RM18.24 bilion) menerusi transaksi rahsia dalam rangkaian rumit dan syarikat kosong dengan akaun bank di negara seperti Switzerland, Singapura, Luxembourg dan AS.
“Dakwaan dan tuduhan terhadap Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan Malaysia dalam isu 1MDB tanpa tindak balas dari PM Najib Razak menunjukan kebenaran dakwaan tersebut,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berpendapat semua dakwaan berkaitan ‘Malaysian Official 1’ yang tanpa sebarang tindakan daripada Najib dan kerajaan Malaysia membuktikan penglibatan pemimpin berkenaan dalam skandal kecurian terbesar di negara ini.
“Pau perlu jantankan Najib. Ambil tindakan pada Peguam Negara Amerika. Rakyat Malaysia khususnya perwakilan Pau usah ‘tulikan telinga’.
“Sikap berdiam diri Najib Razak dan kerajaan Malaysia akan memberi kesan terhadap kepercayaan masyarakat antarabangsa kepada kepimpinan Najib dan ekonomi Malaysia,” ujarnya.
Mahfuz berkata, Najib dan kerajaan Malaysia berdiam diri terhadap banyak tuduhan sejak daripada dakwaan Wall Strait Journal (WSJ), Sarawak Report (SR), Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) sehingga pimpinan Pakatan Harapan.
“Dakwaan terkini daripada Peguam Negara Amerika berlalu tanpa dicabar oleh PM Najib Razak dan kerajaan Malaysia melalui proses undang undang atau nota bantahan terhadap kerajaan Amerika.
“Sebaliknya yang diambil tindakan ialah memecat Peguam Negara Malaysia, Tan Seri Ghani Pathail serta memecat Tan Seri Muhyidin (TPM), Datuk Shafie Afdhal (Menteri) dan Datuk Seri Mukhriz (MB Kedah) serta memecat keahlian mereka dari Umno,” katanya lagi.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :